Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
JEDDAH, 1 Jun (Bernama) – Simposium Haji Perdana ke-49 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi hari ini antara lain membincangkan isu fikah, kebajikan serta keperluan semasa jemaah secara mendalam dan berasaskan ilmu.
Bertemakan Ability to Perform Hajj and Contemporary Developments, simposium itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini dihadiri lebih 500 menteri agama, tokoh dan sarjana Islam serta pemikir dari 57 negara.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1446H/2024M Mohd Hisham Harun.
Mohd Na'im berkata simposium itu, yang berlangsung sejak 1970, kini menjadi medan penting bagi pemimpin agama seluruh dunia memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam konteks ibadah haji yang lebih bersepadu serta bersifat inklusif.
"Simposium yang dirasmikan pagi ini disertai oleh beberapa tokoh penting termasuk Menteri Haji, Ketua Keselamatan, Menteri Kesihatan dan Menteri Pengangkutan dari Arab Saudi.
"Program ini bertujuan untuk memaklumkan kepada para Menteri Haji yang terlibat mengenai usaha-usaha yang dijalankan oleh kementerian berkaitan serta peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kelancaran ibadah haji," katanya kepada petugas media Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.
Beliau berkata simposium itu turut berperanan sebagai jambatan kerjasama antara pihak berkuasa agama dan institusi Islam di peringkat global sekali gus memperkukuh jaringan hubungan strategik dalam pengurusan ibadah haji.
"Pertemuan ini turut menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam ibadah haji seperti toleransi, keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.
Mohd Hisham pula berkata Kerajaan MADANI melalui TH sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan haji untuk kebajikan dan kesejahteraan jemaah negara setiap tahun.
“Penyertaan TH dalam acara simposium haji terbesar ini adalah dengan matlamat untuk menimba sebanyak mungkin ilmu berkaitan haji yang boleh diaplikasikan ke dalam pengurusan haji negara,” katanya.
-- BERNAMA