JENAYAH & MAHKAMAH

PENGARAH SYARIKAT RUGI LEBIH RM100,000 DITIPU SINDIKET TAWARAN TENDER TIDAK WUJUD

01/06/2025 05:44 PM

CHUKAI, 1 Jun (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat kerugian RM137,200 selepas ditipu sindiket penawaran tender tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa pada 13 Mei lepas dia menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kelantan.

Beliau berkata suspek telah menawarkan tender bagi membekal 20 penyaman udara dan mesin jana kuasa kepada mangsa.

"Untuk meyakinkan mangsa, suspek turut mengemukakan empat pesanan pembelian (PO) atas nama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi yang palsu sebagai bukti jaminan pembayaran tender.

"Suspek juga memberikan maklumat pembekal untuk mangsa menjalankan urus niaga jual beli peralatan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi berkata mangsa yang terperdaya telah membuat tujuh pindahan wang ke dalam satu akaun bank dalam tempoh lima hari bermula 27 Mei.

Bagaimanapun setelah diperiksa, mangsa mendapati tawaran tender dalam talian itu sebenarnya tidak wujud.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sehubungan dengan itu, polis menasihati orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pindahan wang," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan