KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Taktik licik seorang lelaki warga India yang menjadi buruan kerajaan negara itu akhirnya terbongkar apabila dia dicekup polis ketika bersembunyi di sebuah hotel di ibu negara, awal pagi 13 Mei lalu.
Suspek berusia 30 tahun yang digelar sebagai ‘raja dadah’ itu ditahan hasil serbuan pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sebuah bilik hotel pada pukul 1.35 pagi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki terbabit dipercayai memasuki negara ini pada awal tahun menggunakan pas pelancong bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak terlibat dalam sebarang kegiatan pengedaran dadah di negara ini. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya dia mempunyai rangkaian tempatan atau terlibat dalam kumpulan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya susulan penahanan itu, suspek yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India telah dihantar pulang ke negara asal menaiki penerbangan pada pukul 6.54 petang, Selasa lepas.
Sebelum ini, akhbar The Indian Express melaporkan, lelaki terbabit merupakan ketua sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi dengan menyeludup dadah bernilai lebih 1,128 crore rupee (RM635 juta) termasuk kokain dan ganja dari Amerika Syarikat melalui kargo.
Suspek ditahan sejurus tiba di India oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) negara itu untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA