KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) akan menggubal peraturan baharu bagi memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pelepasan ikan ke perairan umum.
DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang pelepasan spesies ikan asing ke perairan umum termasuk aduan berkaitan pelepasan ikan keli Afrika (Clarias gariepinus) ke dalam Tasik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sempena pertandingan memancing anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi Program Showtech 2025.
Menurut kenyataan itu, susulan lawatan tapak dan sesi libat urus melibatkan wakil DOF, MARDI dan syarikat urus setia semalam, beberapa langkah mitigasi telah dipersetujui bersama.
“Pihak syarikat urus setia akan memasang jaring hapa tambahan, menyediakan tong pengumpulan ikan keli Afrika yang ditangkap semasa pertandingan dan menyediakan bahan hebahan kesedaran serta melaksanakan aktiviti memancing secara aktif dan berterusan sepanjang program berlangsung.
“Pihak MARDI pula akan memastikan pematuhan pemasangan jaring, membuka tasik kepada aktiviti memancing kawalan serta menyelaraskan program inventori dan pelupusan ikan asing selepas tamat program.
“Jabatan Perikanan akan turut menyokong usaha ini melalui pembekalan bahan kesedaran dan khidmat nasihat teknikal berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Mengenai pelepasan ikan keli Afrika itu, DOF berkata hasil siasatan mendapati sebanyak 2,000 kilogram spesis ikan itu dianggarkan 1,300 ekor dengan berat purata 1.5 kilogram seekor, telah dilepaskan ke dalam tasik berkenaan pada 29 Mei, tanpa sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor.
DOF dalam kenyataan itu turut menyarankan semua pihak untuk sentiasa mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada Pejabat Perikanan Negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan ke perairan awam bagi mengelakkan sebarang implikasi negatif terhadap alam sekitar dan sumber asli negara.
Langkah itu juga bagi memastikan tindakan yang diambil adalah selari dengan prinsip kelestarian alam dan tidak mendatangkan risiko kepada ekosistem tempatan.
Program Showtech 2025 selama lima hari anjuran MARDI di MAEPS bermula 29 Mei adalah platform terbaik untuk masyarakat dan pemain industri melihat sendiri hasil penyelidikan agensi pertanian itu berkaitan teknologi dan inovasi pertanian terkini.
-- BERNAMA