AM

JPV TERENGGANU RAMPAS KAMBING DIPERCAYAI DISELUDUP DARI NEGARA JIRAN

31/05/2025 03:50 PM

KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas 28 ekor kambing dipercayai diseludup dari negara jiran.

Pengarahnya Dr Anun Man berkata kegiatan itu terbongkar apabila pihaknya menahan sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih di tepi jalan di Kampung Teris di Hulu Terengganu pada 10 pagi tadi.

“Kes ini diperoleh hasil risikan selama beberapa hari oleh pasukan penguatkuasaan kami (JPV Terengganu) yang mengekori kenderaan ini dari Kampung Gong Manok di Pasir Putih, Kelantan. Tangkapan dibuat setelah berlaku kejar-mengejar antara pihak penguat kuasa dengan suspek.

“Modus operandi menggunakan van adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan keadaan van yang tertutup juga menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil keseluruhan rampasan itu bersama van berkenaan dianggarkan bernilai RM86,000, manakala dua suspek lelaki berumur lingkungan 50-an ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda hingga RM15,000.

Dr Anun berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kambing yang dipercayai dibawa masuk secara haram itu adalah untuk pasaran di Terengganu atau seluruh Malaysia, memandangkan ternakan berkenaan  mendapat permintaan tinggi untuk ibadah korban pada Aidiladha. 

Beliau berkata terdapat beberapa ekor kambing yang dirampas menunjukkan tanda-tanda sakit seperti batuk, selesema, dan mulut berbuih dan bimbang haiwan ini mempunyai penyakit yang boleh berjangkit kepada haiwan lain atau manusia. 

"Kita sangat bimbang … berlaku kes-kes penyakit seperti penyakit kuku dan mulut (FMD) semasa ibadah korban. Itu yang kita sangat bimbang sekiranya tidak melalui sebarang pemeriksaan daripada JPV," katanya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya akan meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi mengekang pemindahan haiwan secara haram ke negeri ini terutama menjelang Aidiladha. 

Dalam pada itu, Dr Anun berkata pada tahun ini JPV Terengganu berjaya membanteras 13 kes aktiviti pemindahan haiwan secara haram melibatkan 78 ekor lembu dan 46 ekor biri-biri. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan