DUNIA

BEKAS EKSEKUTIF GOLDMAN SACHS, LEISSNER DIHUKUM PENJARA DUA TAHUN DALAM KES 1MDB

30/05/2025 06:08 PM

NEW YORK, 29 Mei (Reuters) -- Bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York pada Khamis atas peranannya dalam skandal kewangan berbilion dolar melibatkan dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat menganggarkan sebanyak US$4.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB menerusi satu skim rumit merentas beberapa negara, melibatkan pegawai kanan dana itu, bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, eksekutif Goldman Sachs serta individu lain.

Leissner, yang pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, mengaku bersalah pada 2018 atas pertuduhan bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) serta bersubahat dalam pengubahan wang haram berkaitan skandal tersebut.

Hakim Margo Brodie menyifatkan tindakan Leissner sebagai “berani dan tidak beretika”. Beliau berkata kerjasama Leissner dengan pihak pendakwaan diambil kira dalam keputusan hukuman, namun ia tidak mampu menebus kerosakan yang berpunca daripada rasuah pada peringkat tertinggi di beberapa negara.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia,” kata Leissner, 55, dalam nada sebak ketika membaca kenyataannya di mahkamah. “Saya amat kesal atas tindakan saya.”

Goldman Sachs sebelum ini membantu menjual bon bernilai US$6.5 bilion bagi pihak 1MDB, yang ditubuhkan oleh Najib dengan kerjasama ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

Namun sebahagian dana itu disalurkan ke akaun luar pesisir dan syarikat proksi yang dikaitkan dengan Jho Low, yang kini menjadi buruan.

Leissner mula bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika selepas ditahan pada 2018 dan dibebaskan dengan syarat memberikan kerjasama penuh kepada siasatan serta menjadi saksi persekutuan dalam kes berkenaan, termasuk memberi keterangan terhadap bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah. Beliau didapati bersalah oleh mahkamah di Brooklyn dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun dibawa pulang ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan.

Menurut dokumen mahkamah, Leissner telah menghadiri puluhan pertemuan dengan pihak pendakwaan dan membantu meneliti ribuan dokumen berkaitan skim 1MDB dan perkara lain.

“Kami menghormati keputusan mahkamah hari ini dan Leissner bersedia untuk menjalani hukumannya serta meneruskan kehidupan dengan berbakti dan menjaga keluarganya,” kata peguamnya, Henry Mazurek dari firma guaman Meister Seelig & Fein PLLC.

Pihak pendakwaan sebelum ini memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan memandangkan kerjasama Leissner dalam siasatan tersebut.

Menteri Malaysia yang mempengerusikan pasukan petugas pemulihan aset 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menyifatkan hukuman dua tahun ke atas Leissner sebagai “terlalu ringan”.

“Memandangkan beliau adalah antara dalang utama yang memudahkan skandal 1MDB, beliau sepatutnya dijatuhkan hukuman maksimum,” katanya kepada Reuters menerusi mesej teks pada Jumaat.

Leissner memberitahu mahkamah bahawa beliau telah kehilangan kebebasan, keluarga dan kestabilan kewangan akibat skandal itu. Bekas eksekutif itu juga berkata kesihatannya terjejas, dan beliau mengalami kemurungan serta kehilangan keinginan untuk hidup.

Goldman Sachs dalam surat kepada mahkamah bertarikh 21 Mei menyatakan bahawa Leissner telah memperdaya rakan sekerjanya selama bertahun-tahun, hingga menyebabkan satu-satunya kes jenayah pernah difailkan terhadap bank itu dalam sejarah 156 tahun penubuhannya.

Pada 2020, Goldman membayar denda tertinggi dalam sejarah bank itu berjumlah US$2.9 bilion di AS dan bersetuju agar anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS. Bank itu juga menarik balik pampasan eksekutif berjumlah US$174 juta.

Bekas Perdana Menteri Najib telah disabitkan bersalah pada 2020 atas pecah amanah jenayah dan penyalahgunaan kuasa kerana menerima wang daripada entiti yang dikaitkan dengan 1MDB secara haram.

Mahkamah tertinggi Malaysia pada 2022 mengekalkan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, namun hukuman tersebut kemudiannya dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Najib kini menjalani hukuman penjara dan sedang mencabar keputusan untuk membolehkannya menjalani baki hukuman di rumah.

-- REUTERS

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan