JENAYAH & MAHKAMAH

OP NORTHERN STAR: TIGA TERMASUK TAN SRI DITAHAN, ASET LEBIH RM500 JUTA DIBEKUKAN

30/05/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Tiga lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan bagi membantu siasatan skim penipuan pelaburan melibatkan MBI International Group (MBI) menerusi Op Northern Star.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata ketiga-tiga suspek berumur 46, 54 dan 58 tahun termasuk pemaju hartanah terbesar tanah air ditahan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang antara 1 hingga 17 Mei lepas.

“Ketiga-tiga individu itu merupakan proksi yang menjalankan pelbagai perniagaan bagi mencuci wang hasil penipuan sindiket berkenaan.

“Polis turut membeku aset dan harta-harta dipercayai hasil perolehan haram berkaitan skim pelaburan Ponzi bernilai RM527,468,296.11,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata antara aset dan harta yang dibekukan dalam tangkapan itu ialah empat kapal layar mewah bernilai RM36.3 juta, 477 hartanah bernilai RM150 juta, empat unit kondominium (RM12 juta), 37 akaun bank (RM328,088,127.11) dan wang tunai (RM283,070).

Turut disita dan dibekukan ialah tiga kereta mewah bernilai lebih setengah juta ringgit, dua jam tangan mewah, lima telefon bimbit dan pelbagai dokumen.

Penahanan itu menjadikan jumlah tangkapan kes penipuan pelaburan MBI sebanyak 17 individu dengan keseluruhan aset yang dibekukan dan disita sejumlah RM3.81 bilion.

Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan dan tidak menolak akan ada tangkapan lain serta pembekuan aset akan dibuat.

Ditanya sama ada terdapat ahli politik terbabit dalam sindiket berkenaan, beliau berkata setakat ini tidak ada ahli politik yang dikesan terlibat, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan itu jika siasatan lanjut menemukan pembabitan mana-mana pihak berkepentingan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan