EKONOMI

LOONG AIR DIJANGKA SAMBUNG SEMULA LALUAN PENERBANGAN PULAU PINANG–XI’AN

30/05/2025 06:36 PM

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Laluan penerbangan terus Pulau Pinang–Xi'an yang dikendalikan Loong Air akan disambung semula tidak lama lagi sekali gus memberikan sinar kepada pemain industri pelancongan.

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata agensi itu kini berhubung rapat dengan Loong Air, yang merancang untuk membuka semula laluan itu pada Jun.

Bagaimanapun, katanya tarikh sebenar masih belum ditetapkan kerana perbincangan masih berlangsung dan kedua-dua pihak sedang memantau maklum balas pasaran dengan teliti.

"Pada masa sama, Loong Air juga merancang untuk melancarkan laluan terus Kuala Lumpur–Xi’an dengan tiga penerbangan seminggu. Penerbangan pertama ini dijangka pada penghujung Jun dan kini pada peringkat permohonan dan persiapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata Tourism Malaysia komited untuk memperluas laluan antarabangsa melangkaui Kuala Lumpur bagi memastikan semua negeri di Malaysia mendapat manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan.

"Kami akan sentiasa bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus ke destinasi lain selain Kuala Lumpur, membolehkan lebih ramai pelancong luar mengunjungi pelbagai kawasan di Malaysia secara langsung," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan