Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 29 Mei (Bernama) --Hasrat beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melakar hari sempurna buat kem badminton negara di kejohanan Terbuka Singapura tidak kesampaian selepas tunduk kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan di pusingan kedua hari ini.
Pasangan nombor empat dunia itu yang kembali bergandingan selepas perpisahan singkat pasca All England 2025, terpaksa akur dengan kekalahan straight set 18-21, 18-21 dalam tempoh 39 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kekalahan itu nyata mengecewakan mereka yang mengakui banyak melakukan kesilapan mudah sepanjang aksi.
“Hari ni memang banyak buat silap. Lawan kami bermain lebih baik tetapi kami terlalu banyak buat kesilapan,”katang Tang Jie kepada Bernama.
Ee Wei pula menegaskan kekalahan itu tidak ada kaitan dengan episod perpisahan mereka sebelum ini, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada kejohanan seterusnya di Jakarta.
"Kami akan cuba yang terbaik. Sudah tentu, seperti pemain lain, kami juga mahu menang, katanya.
Tang Jie-Ee Wei akan membuka kempen Terbuka Indonesia 2025 menentang gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto di Istora Senayan minggu depan.
Di sebalik kekalahan itu, kem negara masih boleh menarik nafas lega apabila lima lagi beregu negara mara ke suku akhir termasuk Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) , Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao turut mengesahkan tempat ke suku akhir.
-- BERNAMA