POLITIK

MESYUARAT BIRO POLITIK PKR FOKUS KOS SARA HIDUP, PERSEDIAAN PRN SABAH

29/05/2025 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Mesyuarat pertama Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025/2028 hari ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif serta impaknya terhadap kos sara hidup rakyat.

Biro Politik PKR dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memperhalusi langkah susulan bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menyentuh mengenai kesiapsiagaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Timbalan Presiden serta semua Naib Presiden turut diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan MADANI,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan kelangsungan persediaan pilihan raya, bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN yang baharu.

Datuk Peto Galim pula akan meneruskan tanggungjawab sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Sabah, menurut biro itu.

Biro berkenaan turut memaklumkan bahawa mesyuarat membuat ketetapan supaya Fuziah Salleh dan William Leong terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat akan datang.

Pada Sabtu lepas, Anwar dilaporkan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu akan mampu mengangkat keupayaan untuk menjadi lebih baik daripada apa yang pernah dicapai.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan