KUANTAN, 29 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di Pahang melakukan solat hajat hari ini bagi mendoakan kesihatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
“Baginda turut mendoakan Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan kesembuhan dan kesihatan berpanjangan daripada Allah SWT,” menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang malam ini.
Sultan Brunei sebelum ini dilaporkan berehat di Institut Jantung Negara (IJN) ibu negara kerana keletihan dan berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Baginda berada di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang-Sidang Berkaitan.
-- BERNAMA