EKONOMI

SAMAIDEN METERAI PAJAKAN JANGKA PANJANG UNTUK PROJEK SOLAR DI KELANTAN

28/05/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Samaiden Group Bhd (Samaiden), Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd (SLTSB), menandatangani perjanjian pajakan jangka panjang dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi pembangunan loji janakuasa fotovolta solar berskala besar (LSS) di bawah program LSS5 Malaysia.

Menurut syarikat tenaga boleh baharu (TBB) itu, perjanjian pajakan tersebut merangkumi kawasan seluas kira-kira 162 hektar (400 ekar) di Pasir Mas, Kelantan, sekali gus menandakan satu pencapaian penting bagi Samaiden.

 “Tanah tersebut akan digunakan bagi pembinaan dan operasi fasiliti tenaga solar dengan kapasiti eksport maksimum 99.99 megawatt arus ulang-alik (MWac), bagi membekalkan elektrik bersih kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

“Tempoh pajakan adalah selama 23 tahun, termasuk dua tahun tempoh pembinaan, dan akan bermula selepas beberapa syarat terdahulu dipenuhi, termasuk kejayaan dianugerahkan projek LSS5 oleh Suruhanjaya Tenaga serta termeterainya PPA dengan TNB,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden Datuk Ir Chow Pui Hee berkata perjanjian pajakan dengan PKINK itu merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan projek solar LSS5 dan selaras dengan sasaran negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 serta pengurangan tahap keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Tapak ini mempunyai kelebihan strategik untuk pembangunan solar, dan kami amat menghargai sokongan padu daripada kerajaan Kelantan dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Perjanjian pajakan ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan menerusi peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan dalam sektor TBB.

Samaiden berkata kerjasama erat dengan PKINK adalah sebahagian daripada usaha membentuk masa depan yang lebih hijau, di samping menyumbang kepada pembangunan serantau serta matlamat tenaga bersih negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan