EKONOMI

PAVILION MALAYSIA CAPAI URUS NIAGA PERDAGANGAN BERNILAI RM235 JUTA DI SEMICON SEA 2025

28/05/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Sembilan syarikat tempatan yang dipamerkan di bawah Pavilion Malaysia dan diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah berjaya memperoleh urus niaga perniagaan bernilai RM235 juta (US$52.9 juta) di Ekspo SEMICON Asia Tenggara (SEA) 2025 baru-baru ini.

Sepanjang acara tiga hari itu yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di Singapura, syarikat-syarikat Malaysia yang mengambil bahagian mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk penyelesaian fabrikasi logam, mesin pengendali ujian, pakaian dan sarung tangan untuk bilik bersih, serta peralatan ujian ‘burn-in’.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) MATRADE Abu Bakar Yusof berkata terdapat aliran berterusan minat perniagaan yang tulen di Pavilion Malaysia, walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global yang berterusan dalam industri.

“Daripada sesi libat urus kami dengan para pempamer Malaysia, jelas bahawa SEMICON SEA terus berfungsi sebagai platform strategik untuk memupuk hubungan perniagaan dan memperluaskan capaian pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Bakar berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keupayaan pembuatan dan kejuruteraan bernilai tinggi Malaysia, sejajar dengan aspirasi negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Sementara itu, MATRADE berkata usaha berkenaan menyerlahkan komitmennya untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dan boleh dipercayai dalam ekosistem semikonduktor global.

SEMICON SEA 2025 merupakan penyertaan MATRADE untuk tahun ke-10 berturut-turut dalam acara berkenaan, yang mana ia adalah sebahagian daripada beberapa siri global SEMICON. Siri ini akan diteruskan dengan SEMICON West di Amerika Syarikat pada akhir tahun ini.

Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) global meningkat 28.4 peratus kepada RM399.43 bilion, dengan eksport menyumbang sebanyak RM220.42 bilion.

Eksport peranti semikonduktor, litar bersepadu, transistor dan injap berjumlah RM141.19 bilion, menyumbang 64.1 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.  

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan