Oleh Sarinah Mat Kasim
SEREMBAN, 28 Mei (Bernama) -- Seorang usahawan wanita di sini menganggap kejayaannya mempopularkan seni batik termasuk corak ‘Bunga Lado’ atau bunga lada yang membawa identiti Negeri Sembilan, banyak didorong oleh seorang guru Pendidikan Seni.
Pemilik d‘NIYY Arts Batik Negeri Sembilan Norhaslilee Ibrahim, 48, berkata minatnya dalam bidang seni bermula di Sekolah Menengah Seri Ampangan di sini dengan galakan daripada guru Allahyarham Othman Buyong yang menurutnya merupakan individu pertama mempercayai bakat dan kebolehannya.
Selain sokongan ahli keluarga, Norhaslilee berkata hasil bimbingan gurunya itu membantu beliau mendalami seni lukisan dengan lebih baik sehingga beliau dapat melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara.
“Walaupun tidak pandai melukis, cikgu bersungguh-sungguh mengajar teknik melukis setelah melihat hasil lukisan saya. Beliau beritahu saya berbakat dan boleh diasah sehingga akhirnya saya jatuh cinta dengan bidang seni,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengimbau kembali perjalanannya, Norhaslilee berkata beliau mula mencanting batik di rumah sebelum menjadikan batik sumber pendapatan utama sejak 2004, selepas menerima geran Kraftangan Malaysia dan bantuan tempat perusahaan daripada kerajaan negeri.
“Batik dihasilkan saya lebih kepada corak kontemporari dan abstrak termasuk corak Bunga Lado yang mempunyai ciri serta falsafah tersendiri, berbeza daripada batik Pantai Timur kerana lebih kepada corak tradisional.
“Setiap lukisan mempunyai penceritaan sendiri dan kalau ada orang bertanya, saya akan menerangkan maksud corak tersebut kerana setiap satu mempunyai keunikan sendiri,” katanya.
Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni batik, Norhaslilee kini mempunyai pelanggan tetap dan peminat setia yang begitu mengenali hasil sentuhannya sehingga mampu membezakan jika batik itu dicanting beliau atau bekas tangan orang lain.
“Saya ada tiga pekerja dan mereka hanya mewarnakan (batik) sahaja. Saya mencanting sendiri corak bagi mengekalkan mutu lukisan mengikut kehendak pelangan,” katanya yang turut menjadi pembekal kepada pengusaha batik di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata selain baju dan kemeja batik, beliau kini turut menghasilkan tengkolok batik Bunga Lado dengan setiap produknya dijual pada harga antara RM80 hingga RM800, bergantung kepada kain serta corak pilihan pelanggan.
Norhaslilee berkata kebanyakan produk dijual kepada pembekal dan pemborong tempatan selain terdapat pemilik butik yang membuat tempahan kain lukisan batik, sebelum menjual semula dengan jenama mereka.
Sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, beliau berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan bagi memperkenalkan batik corak Bunga Lado ke persada antarabangsa dengan lebih meluas.
-- BERNAMA