BANGI, 28 Mei (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia meneroka peluang dengan universiti di Vietnam termasuk prospek menawarkan program dual ijazah, menubuhkan pusat kecemerlangan dan membangunkan universiti bersama.
Pemangku Naib Canselor UKM Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor berkata universiti itu berhasrat untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Vietnam menerusi kerjasama berimpak dalam bidang pendidikan tinggi, kerjasama dengan manfaat bersama dan sumbangan berterusan kepada masyarakat kedua-dua negara.
“Dalam masa terdekat, kami berharap dapat membangunkan universiti bersama di Malaysia dan Vietnam, serta mengembangkan ‘ASEAN Centre for Global Talent’.
“Kami juga merancang untuk mewujudkan Pusat Kerjasama Malaysia-Vietnam yang memberi tumpuan kepada kerja-kerja meningkatkan hubungan bilateral antara dua negara,” katanya kepada pemberita sempena Syarahan Umum oleh Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.
Felo DiRaja UKM Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke acara itu.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Datuk Mohamad Abd Razak.
Sementara itu, Chinh dalam syarahan beliau memuji UKM sebagai simbol dedikasi Malaysia kepada keterbukaan ilmu pengetahuan, kepelbagaian integrasi dan komuniti yang berhubung.
Beliau berkata UKM bukan sahaja tempat menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga menyuburkan aspirasi untuk berkhidmat, membangunkan sumber manusia berkualiti tinggi buat Malaysia dan memupuk warga serantau dan dunia.
“Saya mengucapkan tahniah kepada universiti ini atas pencapaian membanggakan dan syabas juga kepada semua penuntut, mereka yang memikul amanah, semangat, aspirasi dan misi untuk memimpin masa depan.
“Saya menghargai UKM kerana menandatangani Surat Hasrat untuk bekerjasama dengan dua universiti terkemuka di Vietnam (Vietnam National University Ho Chi Minh City dan Vietnam National University Hanoi) yang membuka prospek kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan saintifik dan latihan sumber manusia berkualiti tinggi,” katanya.
-- BERNAMA