Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Impak daripada usaha pengukuhan ekonomi digital rantau ini menerusi Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 dijangka sangat besar yang diunjur mencecah US$1 trilion menjelang 2030, kata seorang pakar ekonomi.
Penasihat ekonomi Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik Dr Anthony Dass berkata inisiatif ini akan menjadi keutamaan utama manakala Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan integrasi ekonomi serantau.
Beliau berkata ekonomi digital menyumbang dari segi memudahkan perdagangan rentas sempadan, meningkatkan inovasi, kesalinghubungan dan menarik pelaburan ke rantau ini manakala infrastruktur digital yang mantap akan mewujudkan perkhidmatan digital, platform dan model perniagaan baharu yang memacu pertumbuhan ekonomi.
“DEFA bertujuan untuk menangani cabaran rentas sempadan dan menangani isu seperti penipuan dalam talian dan maklumat salah, memastikan persekitaran digital yang lebih selamat dan boleh dipercayai.
“Pendigitalan juga akan memperkemas proses perniagaan, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan kos operasi merentas pelbagai sektor,” katanya kepada Bernama.
Namun begitu, Dass berkata, perbezaan ketara dalam tahap pembangunan, kapasiti pengawalseliaan, infrastruktur dan kemahiran digital di seluruh negara anggota ASEAN memberi cabaran untuk melaksanakan DEFA dengan lebih berkesan dan secara meluas.
"Memastikan aliran bebas data dengan kepercayaan sambil mengimbangi perlindungan data dan kedaulatan negara juga merupakan tugas yang rumit," katanya.
Meningkatkan Daya Tahan Ekonomi ASEAN
Potensi Pelan Strategik AEC untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau penting susulan daripada kejayaan Pelan Tindakan AEC 2025 dengan kadar pelaksanaan 97 peratus.
"Pelan baharu ini lebih dinamik dan boleh disesuaikan, melangkaui pendekatan 'seperti biasa'. Dengan memfokuskan pada strategi berorientasikan tindakan, mampan, dinamik, boleh disesuaikan, tangkas dan inklusif, rancangan itu bertujuan untuk mewujudkan ekonomi yang lebih bersepadu dan padu.
“Penekanan pada pertumbuhan dan daya saing yang mampan, dan komitmen kepada penyepaduan yang lebih mendalam melalui pendigitalan, inovasi dan kemampanan, menunjukkan asas yang kukuh untuk kemajuan masa depan,” katanya.
Beliau berkata keberkesanan dan potensi kesan pelan itu akan bergantung pada keazaman politik dan pelaksanaannya, dan kebolehsesuaiannya terhadap perubahan global.
Dass berkata pelan itu menggariskan enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah strategik yang menunjukkan pendekatan komprehensif dan terperinci untuk memajukan pertumbuhan serantau.
"Walaupun pelan itu secara teorinya nampak padu, keazaman politik yang konsisten dan pelaksanaan yang berkesan di semua negara anggota adalah yang paling penting. Pengalaman lalu menunjukkan bahawa jurang dalam tahap pembangunan dan kapasiti kawal selia boleh menghalang kemajuan.
"Landskap ekonomi global ketika ini dicirikan oleh kemajuan teknologi yang pesat, gangguan rantaian bekalan dan dinamik perdagangan yang berkembang.
“Penekanan pelan pada 'strategi tangkas dan dinamik' menunjukkan kesedaran tentang perkara ini, tetapi keupayaan sebenar untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang tidak dijangka akan menjadi kritikal," katanya.
Walaupun Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf penting untuk mengurangkan halangan perdagangan, beliau berkata keberkesanan pelan itu bergantung pada keupayaannya untuk menangani halangan bukan tarif yang berterusan, terutamanya dalam perkhidmatan kritikal seperti kewangan dan perbankan.
"Selain itu, pembangunan pelan tersebut melibatkan penglibatan yang meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan. Penglibatan berterusan dengan kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan organisasi serantau akan menjadi penting untuk kejayaan pelaksanaannya dan memastikan manfaat diagihkan secara meluas," kata Dass.
Tempoh Masa Singkat
Beliau berkata Pelan Strategik AEC, dengan jangka masa lebih singkat antara 2026 dan 2030, menyediakan peluang dan juga cabaran.
“Ia membolehkan pelan itu menyesuaikan dengan pantas kepada perkembangan dinamik global dan serantau yang akan menjadikannya lebih responsif kepada cabaran dan peluang yang muncul.
"Tempoh masa lima tahun boleh membawa kepada usaha padu yang berkesan untuk mencapai sasaran. Kitaran yang lebih pendek akan membolehkan semakan dan pelarasan yang lebih kerap, memastikan rancangan itu kekal relevan dan memberi kesan," katanya.
Namun begitu, usaha untuk cuba mencapai pembaharuan struktur yang ketara dan integrasi mendalam dalam tempoh yang lebih singkat adalah satu matlamat yang agak sukar memandangkan tahap pembangunan yang pelbagai dalam kalangan negara anggota, katanya.
"Sesetengah inisiatif, terutamanya yang berkaitan dengan pembinaan kapasiti atau pengukuhan institusi, mungkin memerlukan tempoh yang lebih lama untuk mencapai impak penuhnya. Mengekalkan penyelarasan dan momentum yang konsisten merentas 10 ekonomi yang pelbagai dalam garis masa yang dimampatkan mungkin agak mencabar.
“Oleh itu, keberkesanan kelaknya akan bergantung kepada sama ada jangka masa yang lebih singkat digunakan untuk memupuk kedinamikan dan responsif yang lebih kukuh, atau sama ada ia membawa kepada agenda terbeban yang sukar dilaksanakan dengan menyeluruh,” katanya.
Mengukuh Penglibatan PMKS
Pelan Strategik Komuniti Ekonomi AEC itu turut mengiktiraf PMKS ASEAN sebagai enjin pertumbuhan dan berhasrat mengukuhkan lagi penglibatan mereka menerusi pelbagai inisiatif seperti pembangunan kapasiti dan kesiapsiagaan digital, akses pembiayaan, pasaran eksport serta lain-lain lagi.
“Pelan ini berkemungkinan besar turut merangkumi langkah-langkah untuk meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan serta menghubungkan mereka dengan pasaran eksport serantau dan global, sekali gus dapat mengatasi kekangan sedia ada.
“Adalah penting untuk menangani perbezaan struktur, dasar tidak konsisten dan ketiadaan peraturan rentas sempadan seragam yang ketika ini membantutkan pertumbuhan PMKS,” katanya sambil menambah usaha itu turut memerlukan bantuan kewangan dan program kesedaran.
Pelan itu juga, katanya, turut memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan keterangkuman dalam kalangan PMKS bagi memperkasakan usahawan belia dan wanita dalam memastikan manfaat integrasi itu dapat dikongsi secara meluas.
“PMKS ASEAN akan meraih manfaat daripada pelan ini yang meningkatkan daya saing, mengembangkan akses pasaran dan menggalakkan daya tahan lebih ketara dengan memaparkan pempelbagaian pasaran dan jaringan lebih kukuh untuk membantu PMKS,” katanya.
Mengukur Kemajuan
Dass berkata ASEAN menilai kemajuan pelan strategik itu menerusi gabungan pelbagai mekanisme berdasarkan iktibar daripada pelan terdahulu seperti Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 yang merangkumi petunjuk prestasi utama (KPI).
“Blok ini menilai kemajuan, keberkesanan secara menyeluruh, mengenal pasti cabaran dan mengambil pengajaran daripada pelaksanaan pada akhir kitaran pelan berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya, ASEAN akan turut mengadakan mesyuarat di peringkat majlis serta menteri sebagai platform untuk menilai kemajuan, membincangkan isu pelaksanaan dan memberi panduan sewajarnya.
“Mekanisme sedemikian bertujuan memastikan kebertanggungjawaban, mengenal pasti kekangan utama dan membolehkan pelarasan yang diperlukan untuk mencapai matlamat integrasi ekonomi,” katanya.
Kalangan pemimpin daripada 10 negara anggota perkumpulan itu baru-baru ini telah menerima pakai Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bagi melonjakkan kedudukan blok berkenaan sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.
Pelan itu akan memasuki fasa pelaksanaannya dengan setiap sektor AEC membangunkan pelan sektoral masing-masing dengan menterjemahkan objektif strategik kepada tindakan konkrit, garis masa dan penunjuk prestasi berkaitan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelan itu akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045).
-- BERNAMA