Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Pantai Esen di Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini masih dipenuhi selut di sepanjang persisiran pantai sehingga menyebabkan lokasi pelancongan itu kurang dikunjungi orang ramai.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar pantai itu lengang, hanya terdapat beberapa penduduk tempatan menjala udang, malah air laut juga keruh dan terdapat juga sisa alga.
Penduduk Ahmad Sulaiman, 66, berkata situasi di pantai itu hari ini amat berbeza berbanding dahulu yang meriah dengan kehadiran pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi pelancong asing yang datang mandi-manda serta melakukan pelbagai aktiviti lain seperti sukan lasak bermotor ATV.
“Saya memang sering datang ke sini kalau ada waktu lapang untuk tangkap udang. Suatu ketika dahulu pantai ini memang bersih tapi sekarang berselut dan tercemar.
“Kalau dahulu ramai orang ke sini terutama hujung minggu tapi sekarang memang kurang sebab nak mandi pun tak boleh, laut dah kotor. Ada yang pernah mandi dan badan naik bintik-bintik dan gatal,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Bagi menangani isu di Pantai Esen, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata kerajaan negeri melalui pemaju projek Pulau Silikon, iaitu Silicon Island Development Sdn. Bhd (SIDSB) telah mengambil beberapa langkah proaktif.
Beliau berkata ia termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan secara manual di kawasan pantai yang terjejas dan melaksanakan pemantauan fizikal secara harian bagi memastikan keadaan sentiasa berada dalam kawalan.
Selain itu, beliau memaklumkan sesi libat urus bersama komuniti setempat dan pihak berkepentingan juga diadakan bagi mendapatkan maklum balas serta menjelaskan langkah yang sedang diambil.
“SIDSB juga telah menjalankan analisis tambahan ke atas kualiti air laut di kawasan Pantai Esen dan hasilnya mendapati paras nitrat di kawasan terbabit agak tinggi.
“Keadaan ini dipercayai berpunca akibat pencemaran dari kawasan hulu sungai, khususnya pembuangan air kumbahan domestik dan air basuhan yang tidak dirawat dengan sempurna.
“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang juga akan melaksanakan Program Sungai Hijau yang bertujuan memulihkan kualiti air sungai dari kawasan hulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata SIDSB juga telah melantik seorang perunding alam sekitar bagi menjalankan kajian menyeluruh dan mengemukakan cadangan langkah-langkah mitigasi bersesuaian bagi jangka pendek dan panjang.
Beliau berkata pemantauan terhadap pelaksanaan tindakan itu sedang dikendalikan secara rapi oleh Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd (PICSB), iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana dan pemantau utama.
Laporan berkala daripada perunding alam sekitar akan dibentangkan kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah PICSB yang dipengerusikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai agensi pemantau terhadap pematuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Media sebelum ini melaporkan Pantai Esen yang digelar "permata tersembunyi" di Pulau Pinang itu dicemari selut dan bau busuk yang menjejaskan pendapatan pengusaha sukan air serta hidupan laut.
-- BERNAMA