KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan mencecah RM161.98 bilion (US$36.47 bilion) dari Januari hingga April 2025, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata pada 2024, dagangan dua hala Malaysia-China berkembang sebanyak 7.5 peratus mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia.
"Hubungan dagangan Malaysia dengan China mendapat momentum baharu selepas lawatan Presiden Xi Jinping baru-baru ini yang mengukuhkan penjajaran strategik dalam pembangunan hijau, ekonomi digital dan infrastruktur serantau melalui inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan," kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, MATRADE berkata ia akan mengetuai penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-ASEAN ke-22 (CAEXPO) di Nanning, China dari 17 hingga 21 Sept, 2025.
Menurutnya, ekspo berkenaan menyasarkan lebih 100 syarikat Malaysia berpotensi tinggi dalam sektor seperti makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, gaya hidup, penyelesaian digital, tenaga bersih dan inovasi seiring dengan aliran global dan permintaan pasaran China.
"Ketika Malaysia memegang status Kepengerusian ASEAN tahun ini, penyertaan dalam ekspo tersebut menjadi lebih bermakna dalam mengukuhkan kepimpinan ekonomi serantau, menggalakkan pertumbuhan terangkum dan mempereratkan perkongsian strategik komprehensif dengan China," katanya.
MATRADE berkata ia akan menganjurkan siri aktiviti strategik termasuk sesi padanan perniagaan, mesyuarat pemilihan produk, promosi penstriman langsung yang diterajui oleh pempengaruh serta inisiatif libat urus hibrid.
“Kerjasama dengan organisasi seperti Sekretariat CAEXPO dan rakan sejawat dari China akan terus meningkatkan hasil libat urus,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MATRADE Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata CAEXPO kekal sebagai pintu masuk strategik bagi perniagaan Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan dari Sarawak untuk berhubung dengan pasaran di seluruh China serta ASEAN.
"Perniagaan yang berpangkalan di Sarawak perlu memanfaatkan perkhidmatan kemudahan MATRADE bagi mengembangkan jejak mereka di pasaran luas China.
“Selain itu, memanfaatkan keupayaan kukuh Sarawak dalam tenaga boleh baharu dan hijau, pembuatan bernilai tinggi dan industri berasaskan sumber hiliran," katanya.
Sejak penampilan pertama Malaysia di CAEXPO pada 2004, lebih 2,000 syarikat Malaysia mengambil bahagian melalui MATRADE dengan menjana nilai eksport terkumpul sebanyak RM6.69 bilion selain menekankan impak ekspo berkenaan dalam membuka pintu ke pasaran China.
MATRADE berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan menggunakan penyertaannya di CAEXPO bagi memajukan keutamaan utama serantau termasuk daya tahan perdagangan, pendigitalan dan pertumbuhan saksama di seluruh rantau ini.
Untuk penyertaan dan pertanyaan, syarikat yang berminat boleh menghubungi pasukan MATRADE atau melayari https://www.matrade.gov.my/en/events-promotion/international-trade-event-list.
-- BERNAMA