EKONOMI

PETRONAS LABUR RM25 BILION DI SARAWAK PADA 2024 - TIMBALAN PREMIER

28/05/2025 01:26 PM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah melabur sebanyak RM25 bilion di Sarawak tahun lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata pelaburan itu termasuk sembilan penemuan hidrokarbon pertama dan dua pengeluaran utama - medan Kasawari di Blok SK316 dan medan Jerun di Blok SK408.

“Projek pembangunan dan penerokaan luar pesisir sedang berjalan untuk memastikan keselamatan tenaga masa depan.

“Petronas mempergiat penerokaan sempadan melalui pengayaan data dan perkongsian strategik untuk pemprosesan seismik, memperkukuh peranan Sarawak dalam sektor tenaga Malaysia, menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Awang Tengah berkata Sarawak mengiktiraf gas asli sebagai bahan api peralihan yang penting dalam perjalanan global ke arah pelepasan karbon sifar bersih dan negeri ini komited terhadap pembangunan bertanggungjawab.

Beliau berkata Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) memanfaatkan sumber gas asli Sarawak yang banyak, membentuk lebih 60 peratus rizab Malaysia untuk memacu perindustrian, meningkatkan keselamatan tenaga dan menarik pelaburan mampan.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, saluran gas bandar bernilai RM100 juta di Bintulu akan memperluaskan akses tenaga bersih dan mampu milik untuk kediaman dan perniagaan. Projek itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Sementara itu, saluran paip gas Samalaju bernilai RM1 bilion akan mengangkut 300 mmscf sehari gas dari Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP). Pemasangan saluran paip gas ini dijangka siap menjelang akhir 2025," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan