KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Sering disalah anggap sebagai alternatif lebih selamat berbanding rokok tembakau, penggunaan rokok elektronik atau vape kini mencetuskan kebimbangan kesihatan yang serius, khususnya dalam kalangan remaja dan pesakit asma.
Walaupun kandungan bahan toksik adalah lebih rendah kerana tanpa pembakaran tembakau dan karbon monoksida, vape tetap mengandungi bahan kimia berbahaya termasuk nikotin yang menyebabkan risiko pernafasan.
Menurut Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 oleh Kementerian Kesihatan, penggunaan produk tembakau dalam kalangan remaja Malaysia menurun sedikit daripada 20.9 peratus pada 2017 kepada 18.5 peratus pada 2022.
Bagaimanapun, penggunaan rokok elektronik dan vape menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh sama iaitu daripada 9.8 peratus kepada 14.9 peratus, satu trend yang dijangka terus meningkat berikutan populariti dan penerimaan vape berbanding rokok tembakau tradisional.
Menjelang sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia, pakar penjagaan kesihatan ingin menekankan kesan buruk penggunaan tembakau dan meneliti bagaimana vape turut menyumbang kepada masalah pernafasan, terutama bagi mereka yang menghidap asma atau sebaliknya.
Pakar Pediatrik dan Respiratori Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Noor Zehan Abdul Rahim berkata pengguna rokok elektronik perlu peka terhadap komplikasi seperti gejala kecederaan paru-paru berkaitan vape (EVALI).
“Rokok elektronik berfungsi dengan memanaskan larutan cecair yang mengandungi nikotin, perisa dan bahan kimia lain seperti tetrahydrocannabinol (THC) serta vitamin E asetat, yang menghasilkan aerosol yang disedut ke dalam paru-paru. Gejala EVALI termasuk batuk, sesak nafas, sakit dada, demam dan keletihan,” katanya kepada Bernama.
Dr Noor Zehan berkongsi satu kes baru-baru ini melibatkan seorang remaja yang sebelum ini sihat, namun tiba-tiba mengalami masalah pernafasan yang serius.
Beliau berkata remaja berkenaan menunjukkan simptom hemoptisis (batuk berdarah) dan sesak nafas teruk, dengan keadaannya merosot dalam masa singkat sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi kerana tahap oksigen menurun secara mendadak.
“Imbasan CT dada resolusi tinggi menunjukkan kecederaan paru-paru akut, penemuan yang konsisten dengan proses keradangan serius melibatkan alveoli dan interstitium pulmonari, dengan kemerosotan yang berlaku secara mendadak.
“Ini bukan kanak-kanak dengan penyakit paru-paru sedia ada, dan tiada sejarah jangkitan atau pendedahan kronik. Bagaimanapun, dia baru-baru ini mula bereksperimen dengan vape. Hanya beberapa minggu sebelum itu, dia melakukan tabiat itu secara santai, secara sosial tanpa menghiraukan risiko yang diambil,” katanya.
Remaja itu bernasib baik kerana dikesan lebih awal dan menerima rawatan segera serta terapi antiradang yang dipantau rapi, sekali gus membolehkan dia pulih sepenuhnya.
“Dia akhirnya dibenarkan pulang dengan ubat-ubatan untuk membantu proses penyembuhan paru-paru, dengan jangkaan pemulihan sepenuhnya yang positif. Namun, tidak semua pesakit bernasib baik,” katanya.
Dr Noor Zehan berkata dalam kes apabila tindak balas keradangan terhadap vape adalah lebih teruk atau rawatan tidak diberikan segera, keadaan itu boleh berubah menjadi kegagalan pernafasan yang tidak dapat dipulihkan.
“Kes ini menjadi peringatan jelas bahawa paru-paru remaja masih dalam fasa perkembangan, mudah tercedera dan sangat terdedah kepada kerosakan akibat bahan kimia. Apa yang bermula sebagai satu eksperimen atau tabiat sosial boleh membawa kepada komplikasi mengancam nyawa dalam masa beberapa minggu,” katanya.
Ketika ditanya mengenai bahan kimia paling berbahaya dalam wap rokok elektronik, Dr Noor Zehan berkata selain nikotin, bahan seperti propilena glikol dan gliserin sayuran apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan sampingan toksik seperti formaldehid dan asetaldehid yang boleh menyebabkan keradangan saluran pernafasan.
Beliau berkata bahan perisa tertentu yang dianggap selamat untuk dimakan seperti diasetil, asetoin dan 2,3-pentadion sangat berkait dengan penyakit paru-paru popcorn, penyakit paru-paru yang tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh keradangan.
Dr Noor Zehan turut menjelaskan bahawa kanak-kanak dan remaja yang menghidap asma adalah golongan paling terdedah kepada pendedahan aerosol vape, yang boleh mencetuskan serangan asma berulang, mengurangkan keberkesanan ubat asma serta membawa kepada asma yang tidak terkawal, fungsi paru-paru terjejas, kapasiti paru-paru berkurangan dan kematangan pulmonari yang terbantut.
“Pendedahan berulang kepada aerosol boleh mengakibatkan keradangan kronik saluran pernafasan yang akhirnya menyebabkan perubahan struktur kekal yang dikaitkan dengan asma yang lebih teruk dan tidak dapat dipulihkan.
“Penggunaan vape dalam tempoh jangka panjang boleh mendedahkan remaja kepada penyakit seperti bronkitis kronik, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) awal atau asma berterusan sehingga dewasa, walaupun kemudiannya tabiat vape dihentikan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kanak-kanak yang tinggal dalam persekitaran yang mengamalkan vape secara meluas, sama ada di rumah mahupun di sekolah, semakin ramai menunjukkan gejala seperti batuk berpanjangan, bunyi nafas yang berdehit dan sesak nafas. Pendedahan seperti ini boleh menyebabkan bronkitis, radang paru-paru serta jangkitan pernafasan lain.
Dr Noor Zehan berkata profesional penjagaan kesihatan juga melihat perubahan dalam kemasukan berkaitan pernafasan di hospital pediatrik, yang dipercayai berpunca daripada peningkatan penggunaan dan pendedahan kepada rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Walaupun tiada rawatan khusus atau strategi yang tepat dalam menghalang mereka daripada menggunakan peranti ini, beliau menggesa ibu bapa dan guru agar memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai bahaya dan risiko vape serta impaknya terhadap kehidupan jika tiada tindakan diambil.
“Galakkan perbincangan terbuka mengenai bahaya vape, didik anak-anak anda mengenai risiko dan tunjukkan teladan yang baik dengan tidak menggunakan produk tembakau dan nikotin. Sokongan dan kesedaran anda sangat penting dalam membantu anak anda membuat pilihan hidup yang sihat,” katanya.
Sementara itu, melalui pendidikan di sekolah, beliau menekankan kepentingan dialog terbuka dan mewujudkan persekitaran yang menyokong untuk menghalang pelajar daripada terlibat dalam penggunaan vape dan tembakau.
“Peningkatan vape dalam kalangan golongan muda adalah kebimbangan yang semakin meningkat dan ramai pelajar mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko yang dialami. Galakkan mereka membuat keputusan yang sihat dan menyediakan sumber untuk mereka yang mungkin bergelut dengan ketagihan nikotin,” katanya.
-- BERNAMA