Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menegaskan bahawa ASEAN perlu menjadi sebuah blok serantau yang lebih kuat dan lebih bersatu dalam menghadapi ketidaktentuan situasi global ketika ini.
Beliau turut menggesa semua negara anggota supaya memperkukuh kerjasama serantau.
“ASEAN harus lebih kuat, lebih padu. Situasi tidak menentu, jadi kita harus bekerjasama dengan lebih baik lagi,” katanya kepada stesen televisyen tempatan selepas menghadiri Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Ini merupakan penampilan kali pertama Prabowo selaku ketua negara dalam perhimpuan serantau itu sejak memegang jawatan Presiden Indonesia pada Oktober tahun lepas.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penandatanganan Deklarasi Kuala Lumpur sebagai detik paling penting dalam perjalanan integrasi rantau ini.
Perdana Menteri berkata masa depan ASEAN mesti bergantung kepada “asas kemampanan dan keterangkuman”, dan integrasi serantau perlu benar-benar berpaksikan rakyat.
Deklarasi itu yang diperakui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, melambangkan komitmen kukuh ASEAN untuk membina komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat menjelang 2045.
Visi baharu itu akan menggantikan Visi ASEAN 2025, yang telah diterima pakai sejak 2015.
-- BERNAMA