SEOUL, 26 Mei (Bernama-Yonhap) -- Hyundai Motor Co telah memeterai perjanjian penajaan dengan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk menjadi penaja utama kejohanan bola sepak kebangsaan lelaki terkemuka Asia Tenggara bermula pada 2026, lapor agensi berita Yonhap.
Perjanjian itu ditandatangani di kilang pembuatan Hyundai di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.
Di bawah perjanjian itu, kejohanan dwitahunan berkenaan akan dinamakan semula sebagai Piala ASEAN Hyundai mulai 2026, menurut syarikat itu pada Isnin.
Dikenali sebelum ini sebagai Kejohanan ASEAN, ia telah melalui beberapa penjenamaan semula selaras dengan perubahan tajaan.
Ia pernah dikenali sebagai Piala Tiger, Piala Suzuki dan terbaru Piala Mitsubishi Electric.
Selain Piala ASEAN Hyundai, Hyundai turut akan menaja tiga lagi kejohanan bola sepak serantau dari 2025 hingga 2029.
Ini termasuk Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee, Piala Serenity MSIG Wanita ASEAN dan Kejohanan ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) .
Hyundai Motor mula terlibat dalam penajaan bola sepak global menerusi Piala Dunia FIFA pada 1999.
Sejak itu, syarikat berkenaan terus mengembangkan kehadirannya, termasuk menjadi rakan kongsi rasmi kejohanan kelab utama Amerika Selatan, Copa Libertadores baru-baru ini.
Bagi memperingati pelancaran perkongsian baharu dengan AFF, Hyundai turut melancarkan "Hyundai Kids Mobile Library" — sebuah bas elektrik yang diubah suai menjadi perpustakaan bergerak — sebagai sebahagian daripada inisiatif penglibatan komuniti yang lebih meluas di Asia Tenggara.
“Penajaan ini merupakan langkah bermakna yang sejajar dengan visi Hyundai iaitu "Kemajuan untuk Kemanusiaan" dan menyokong pertumbuhan mampan melalui perkongsian sukan,” kata Ketua Bahagian Perniagaan Hyundai Motor Asia Tenggara, Kim Sung Nam.
“Kami akan terus menggalakkan perubahan positif di Asia Tenggara menerusi pelbagai inisiatif berasaskan komuniti,” tambahnya.
-- BERNAMA-YONHAP