AM

PEMIMPIN ASEAN SERU PEMERKASAAN WANITA DAN BELIA DALAM PEMBINAAN NEGARA - PRESIDEN AIPA

26/05/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Tan Sri Dr Johari Abdul menyampaikan mesej jelas dan padu mengenai keperluan memperkasa penyertaan wanita dan belia dalam pelbagai sektor bagi memacu pembinaan negara yang terangkum dalam ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa golongan wanita dan belia perlu diberi ruang lebih besar dalam kepimpinan, politik dan proses membuat keputusan kerana mereka adalah elemen penting dalam membina ASEAN yang mampan dan berpaksikan rakyat.

“Alhamdulillah, di Malaysia penglibatan wanita dalam beberapa bidang amat memberangsangkan -terutamanya dalam sektor awam, khususnya dalam perkhidmatan sokongan yang mungkin telah melebihi 50 peratus, begitu juga dalam sektor pendidikan,” katanya kepada media selepas Sesi Interaksi Pemimpin ASEAN-AIPA dengan wakil AIPA yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa wanita masih kurang diwakili dalam beberapa bidang utama, khususnya politik, dan menekankan keperluan untuk memperkasa golongan wanita muda agar lebih berperanan dalam kepimpinan.

“Inilah bidang yang kami mahu usahakan, supaya penglibatan wanita muda menjadi lebih aktif dan menyerlah,” katanya.

Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat turut menyeru agar belia diperkasakan lagi  sebagai pemimpin masa depan, dengan menekankan bahawa aspirasi mereka perlu diberi perhatian secara bermakna dalam semua sektor termasuk politik, ekonomi, pembangunan sosial dan pendidikan.

Beliau mengulangi komitmen bersama pemimpin ASEAN dan ahli parlimen AIPA dalam memperkukuh komuniti serantau yang lebih terangkum, mampan dan berpaksikan rakyat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Johari turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini  dan menekankan kepentingan kerjasama erat antara cabang eksekutif dan legislatif dalam merangka dasar serantau.

Kenyataan itu turut menekankan keperluan memperkukuh inisiatif parlimen dalam menyokong pemerkasaan wanita dan belia, mempercepat integrasi digital serta memajukan pertumbuhan ekonomi hijau dan mampan.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Sempena sidang kemuncak ini, dua pertemuan penting turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung, yang menjadi platform utama untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan