AM

TIMOR-LESTE SASAR KEANGGOTAAN PENUH ASEAN HUJUNG TAHUN INI, TERIMA SOKONGAN SERANTAU

26/05/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Timor-Leste yakin bakal diterima sebagai anggota penuh dalam ASEAN menjelang hujung tahun ini, dengan Oktober dilihat kemungkinan pencapaian bersejarah itu berlaku. 

Perdana Menterinya Xanana Gusmão menyuarakan keyakinan terhadap proses itu dan berkata negaranya telah mencatat kemajuan ketara dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Kami berharap proses ini dapat diselesaikan menjelang hujung tahun, mungkin pada Oktober, memandangkan terdapat sokongan meluas dari negara anggota ASEAN.

“Kami telah melakukan yang terbaik dan memenuhi sebahagian besar keperluan yang ditetapkan. Sudah tentu masih ada satu, dua atau tiga lagi (keperluan) yang akan kami usahakan,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri sesi pertemuan pemimpin  ASEAN-AIPA (Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN) ke-14 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

Timor-Leste, yang mula memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 telah diberikan status pemerhati dalam mesyuarat peringkat tinggi pada 2022. Bagaimanapun, proses integrasi sepenuhnya masih dalam penilaian.

Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas semalam berkata penyertaan penuh dalam ASEAN bukan sahaja penting dari segi manfaat ekonomi, tetapi juga untuk memperkukuh suara Timor-Leste di peringkat serantau.

“Keanggotaan penuh amat penting bagi negara kecil berpenduduk 1.4 juta ini, bukan sahaja dari sudut faedah ekonomi, tetapi juga kerana kedudukannya yang strategik antara Indonesia dan Australia, sejajar dengan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan