CHUKAI, 26 Mei (Bernama) -- Seekor penyu agar betina dianggarkan seberat 100 hingga 130 kilogram ditemukan mati di pantai Teluk Batu, Kijal di sini kira-kira 2.30 petang semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Pang Nyukang berkata bangkai penyu dewasa berukuran 91 sentimeter (cm) panjang dan 76 cm lebar itu ditemukan dalam keadaan terapung di gigi air pantai oleh pemajak telur penyu yang kebetulan sedang memantau kawasan tersebut.
“Kita menerima laporan daripada pemajak pantai Teluk Batu kira-kira 8 malam tadi.
“Bagaimanapun, dia tidak sempat menarik bangkai penyu tersebut kerana saiznya yang besar dan ombak agak kuat,” katanya ketika dihubungi.
Pang berkata pihaknya telah menghantar pegawai di daerah Kemaman untuk mengesan bangkai haiwan marin itu tetapi gagal kerana dipercayai telah dihanyutkan air pasang malam tadi.
Beliau berkata mengikut maklumat pemajak, penyu tersebut dipercayai mati dalam sehari dua lepas berdasarkan keadaan kepala dan badannya yang masih elok.
"Bagaimanapun terdapat kesan cedera dipercayai akibat terjerut pukat nelayan di leher," katanya yang turut meminta orang ramai melaporkan segera sebarang penemuan bangkai penyu di kawasan pantai supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
-- BERNAMA