KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa penglibatan secara senyap memainkan peranan yang berkesan dalam menangani krisis di Myanmar.
“Langkahnya mungkin kecil dan jambatan itu mungkin rapuh, tetapi seperti yang sering katakan, dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh pun lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini hari ini.
Anwar berkata ASEAN telah dapat mengambil langkah positif dengan pembentukan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025.
Anwar berkata kumpulan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand Dr Thaksin Shinawatra itu turut bermesyuarat di Brunei, dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan hadir.
“Apa yang penting ialah sejak mesyuarat ketiga diadakan di Bangkok, kita telah dapat melangkah ke hadapan dalam usaha ke arah penyelesaian krisis Myanmar.
“Kita bersyukur kerana mesyuarat seterusnya akan dihoskan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja Samdech Hun Sen,” katanya.
Awal bulan ini Anwar memulakan dialog berasingan dengan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), yang menandakan satu langkah penting ke arah memupuk penglibatan langsung antara pihak yang berkonflik.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semalam berkata mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean telah bersetuju supaya Asean mengadakan rundingan dalaman berhubung cadangan melantik utusan tetap khas ASEAN di Myanmar untuk penggal tiga tahun, satu langkah yang memastikan kesinambungan dan penglibatan dalam menangani krisis yang berlarutan.
Langkah itu juga dilihat sebagai berpotensi untuk menggerakkan usaha kearah mewujudkan pengantaraan ASEAN dalam krisis Myanmar.
Penyelesaian Konsensus Lima Perkara telah diterima pakai oleh ASEAN pada April 2021 susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar pada bulan Februari tahun berkenaan.
Penyelesaian itu menyeru supaya keganasan dihentikan segera, diwujudkan dialog inklusif dalam kalangan semua pihak, pelantikan utusan khas, penyampaian bantuan kemanusiaan, dan supaya utusan khas diberikan akses kepada semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Di sebalik kepentingannya, pelaksanaan konsensus sebahagian besarnya terhenti disebabkan oleh ketidakpatuhan junta yang berterusan, dengan isu itu kekal menjadi kebimbangan utama dalam penglibatan berterusan ASEAN dengan Myanmar.
Sementara itu bagi ASEAN, Anwar berkata keamanan, kestabilan dan kemakmuran sering bergantung kepada aturan antarabangsa berasaskan peraturan, terbuka dan inklusif, yang berpaksikan dalam pergerakan bebas perdagangan, modal dan penduduk.
Beliau berkata asas-asas ini sedang dimusnahkan oleh kuasa yang bertindak sawenang-wenangnya.
“Namun sekali lagi, saya sangat percaya dengan ketabahan dan kuasa kekal ASEAN untuk menangani gelombang dan mengharungi badai cabaran serta ketidaktentuan yang kita dihadapi.
"Ia adalah dengan rasa kepusatan dan keyakinan kita untuk menempa masa depan sendiri yang akan membolehkan kita terus berada di hadapan," katanya.
Dalam perkara ini Anwar berkata ASEAN dapat mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China pertama, yang menyerlahkan semangat muhibah ASEAN yang luas dalam mengukuhkan, mengembangkan perkongsian, dan bertindak dengan kejelasan strategik,
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang menampilkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA