AM

LAPORAN VISI 2045 DILULUSKAN MESYUARAT MENTERI ASEAN MENJELANG SIDANG KEMUNCAK KE-46 – WISMA PUTRA

25/05/2025 11:52 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Mesyuarat menteri bagi persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 telah meluluskan Laporan Akhir Pasukan Tugas Kanan mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045 dan bersetuju untuk mengemukakan dokumen Visi tersebut untuk diterima oleh pemimpin ASEAN, menurut Kementerian Luar.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-36 yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, turut mengambil maklum lima laporan utama dan meluluskan enam laporan untuk dikemukakan kepada pemimpin.

Laporan-laporan ini menekankan pelbagai usaha yang telah dijalankan merentas tiga teras komuniti ASEAN.

“Mesyuarat ini menyediakan platform penting untuk mengkaji kemajuan ASEAN di bawah visi ASEAN 2025 serta menyelaraskan keutamaan ke arah ‘ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama’.”

“Mesyuarat turut membincangkan status laporan untuk dikemukakan ke Sidang Kemuncak serta kemajuan Timor-Leste dalam usaha menjadi anggota penuh ASEAN,” menurut Wisma Putra dalam hantaran di X.

Kementerian itu memaklumkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, yang akan ditandatangani oleh Pemimpin ASEAN esok (26 Mei), bakal menjadi mercu tanda strategik yang membimbing fasa seterusnya pembinaan komuniti dan kepimpinan serantau.

Sementara itu, Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota, pengerusi bersama Pasukan Tugas Kanan Visi Komuniti ASEAN (HLTF-ACV), serta Sekretariat ASEAN atas sumbangan mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan