AM

PERDANA MENTERI KEMBOJA HUN MANET TIBA UNTUK HADIR SIDANG KEMUNCAK ASEAN

25/05/2025 06:26 PM

SEPANG, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang akan bermula esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pesawat khas yang membawa Hun Manet, isterinya Pich Chanmony dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.36 petang dan disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sebaik tiba, Hun Manet memeriksa kawalan kehormatan oleh 28 anggota dan pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten J Lingesri Rao.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini, serta Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Sidang Kemuncak dan mesyuarat berkaitan menghimpunkan pemimpin negara ASEAN untuk membincangkan isu serantau dan melakar hala tuju masa depan kerjasama blok itu, di samping menangani pelbagai isu mendesak serantau dan antarabangsa, dengan krisis berterusan di Myanmar kekal menjadi perhatian utama bagi negara anggota.

Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan