KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Komitmen negara anggota ASEAN dalam merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045 serta usaha menangani krisis berlarutan di Myanmar dijangka menjadi antara tumpuan utama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menurut pakar hubungan antarabangsa.
Pensyarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Dr. Ravichandran Moorthy berkata pemimpin ASEAN akan membincangkan pencapaian blok serantau, ketidakseimbangan pembangunan, keberkesanan pelaksanaan dasar serta peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
"ASEAN yang pada asalnya ditubuhkan dalam konteks Perang Dingin telah melalui pelbagai transformasi penting, termasuk Deklarasi Bali dan pembentukan Komuniti ASEAN pada 2015," katanya semasa Siaran Khas Bernama TV: Merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045, yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa dari satu dekad ke dekad seterusnya.
“Walaupun terdapat ketidakseimbangan pembangunan antara negara anggota, pelbagai inisiatif seperti pelaburan dan perdagangan intra-ASEAN serta pendekatan 'ASEAN Minus X' telah banyak membantu negara kurang maju mengejar pembangunan,” jelasnya.
Ravichandran turut menekankan peranan pasukan petugas khas ASEAN dalam memastikan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menyeluruh, merangkumi tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosiobudaya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi menyifatkan kepimpinan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sebagai satu pendekatan progresif dan tidak konvensional, terutama melalui diplomasi pelbagai hala serta penglibatan aktif dengan rakan strategik seperti China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Mengulas situasi di Myanmar, beliau berpandangan bahawa ketiadaan garis masa yang jelas dalam Konsensus Lima Perkara menjadi antara punca kelemahan ASEAN dalam menangani krisis di negara itu.
Namun begitu katanya, Malaysia telah menunjukkan kemajuan penting tahun ini dengan mengambil inisiatif berjumpa dengan kedua-dua pihak utama konflik iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan junta tentera Myanmar.
“Kepengerusian ASEAN memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk memperkukuh peranan serantau.
“Pendekatan ini membuka ruang baharu untuk perbincangan, tetapi hala tuju selepas ini masih menjadi tanda tanya,” katanya.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menghimpunkan para pemimpin negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama blok serantau itu.
Turut dijadualkan berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.
-- BERNAMA