AM

PKNS LANCAR LINKAR 52, SASAR KELUARGA MUDA MILIKI KEDIAMAN MODEN DI BANDAR

24/05/2025 04:36 PM

SHAH ALAM, 24 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sentiasa memikirkan mekanisme baharu dalam usaha membuka peluang kepada komuniti setempat memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata hal ini kerana menyediakan kediaman pada harga mampu milik menjadi cabaran utama dalam industri hartanah, khususnya membabitkan kawasan bandar.

Beliau berkata antara mekanisme baharu yang dilakukan PKNS ialah memperkenalkan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan menyasarkan individu atau pasangan yang menggemari gaya hidup minimalis sebagai pasaran sasaran.

"Sejajar dengan tekad kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada komuniti setempat memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan, PKNS memperkenalkan Linkar 52, iaitu projek TOD pertama PKNS terdiri daripada dua menara setinggi 33 tingkat dengan jumlah keseluruhan 615 unit kediaman.

"Dengan keluasan binaan antara 450 hingga 850 kaki persegi, saiz unit yang lebih kecil ini juga berpotensi menjimatkan kos penyelenggaraan serta utiliti sesuai untuk individu dan pasangan yang menggemari gaya hidup minimalis," katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Linkar 52 di Galeria SA Sentral, di sini hari ini.

Mahmud berkata Linkar 52 yang dibangunkan sebagai komponen utama di bawah projek SA Sentral dan dilengkapi 19 unit lot perniagaan runcit, lengkap dengan empat lif bagi setiap menara itu ditawarkan dengan harga bermula pada RM351,000 seunit.

Beliau berkata Linkar 52 terletak di lokasi strategik menggabungkan semua aspek hab komersial moden yang menyasarkan golongan keluarga muda, bujang dan sesuai dijadikan sebagai aset pelaburan pada masa hadapan yang menjanjikan pulangan baik.

“Kami perlu bawakan nilai (dalam projek kali ini), jadi nilai yang boleh kami tawarkan kepada pelanggan, satu daripadanya ialah reka bentuk.

"Selain itu, Linkar 52 juga berada dalam radius dua atau satu kilometer dari hospital, tidak jauh dari sini juga kita ada universiti, tasik, masjid begitu juga dengan kedai makan … ia antara elemen yang menarik minat pembeli,” katanya.

Dari aspek reka bentuk, ruang kediaman Linkar 52 direka dengan susun atur fleksibel dan moden, disertai pencahayaan semula jadi dan pengudaraan efisien, mewujudkan suasana luas, selesa serta berkonsepkan gaya hidup kontemporari.

Mahmud berkata reka bentuk Linkar 52 turut menekankan aspek privasi dengan pintu masuk setiap unit tidak menghadap antara satu sama lain sekali gus memberikan tahap keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada penghuni.

Linkar 52 turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden seperti kolam renang, taman permainan, surau, dewan serba guna, gimnasium, gelanggang separuh bola keranjang, laman BBQ serta dek santai, selain menawarkan akses strategik dengan jarak hanya 100 meter ke Lebuh Raya Persekutuan dan 50 meter ke Stesen LRT3 Dato’ Menteri.

Selari dengan infrastruktur sekeliling serta akses kepada pelbagai kemudahan, Linkar 52 dibangunkan di kawasan Seksyen 14 dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM314.42 juta dan dijangka siap pada suku kedua 2029.

Orang ramai yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Linkar 52 boleh melayari laman sesawang https://pknslinkar52.com.my/ atau hubungi Eksekutif Jualan PKNS melalui talian 03-50220186 atau WhatsApp 010-9280187.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan