BUKIT MERTAJAM, 24 Mei (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan membina sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu bernilai RM250 juta di Empangan Mengkuang di sini, yang berupaya membekalkan maksimum 114 juta liter sehari (JLH) air terawat kepada pengguna khususnya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata terletak kira-kira 550 meter dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD), kerja pembinaan projek LRA Taman Mengkuang yang akan mengambil masa 18 bulan itu dijangka siap pada November tahun depan dan memperoleh bekalan harian daripada EMD yang merupakan empangan terbesar di negeri ini.
“Selama ini EMD berfungsi sebagai empangan simpanan air strategik yang akan melepaskan air ketika LRA Sungai Dua berdepan situasi kecemasan dan tidak dapat mengabstrak air secukupnya dari Sungai Muda.
“Namun, mulai November 2026, EMD akan menjadi empangan dwiguna apabila diaktifkan sepenuhnya sebagai empangan harian yang melepaskan air mentah setiap hari untuk menyokong operasi LRA Taman Mengkuang, di samping turut berfungsi membekalkan sumber air mentah sandaran kepada LRA Sungai Dua dalam keadaan abnormal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek LRA Taman Mengkuang di sini hari ini.
Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata pembinaan LRA baharu itu merupakan antara langkah progresif diambil oleh kerajaan negeri dalam mendepani realiti peningkatan permintaan air kerana penggunaan air di Pulau Pinang meningkat dalam tempoh 10 tahun daripada 813 JLH pada 2014 kepada 870 JLH pada 2024 dan jumlah itu dijangka melonjak kepada 1,103 JLH menjelang 2030.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K Pathmanathan berkata projek tersebut merangkumi pembinaan modul rawatan air berkapasiti 114 JLH, rumah pam pencucian balik, bangunan dos bahan kimia dan tangki air terawat.
Selain itu, beliau berkata ia turut melibatkan pembinaan bangunan rawatan enap cemar, pam pembersih dan kolam takungan sisa kimia, kolam takungan serta sebuah bangunan pentadbiran dilengkapi dengan sistem kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (SCADA).
“Kontrak ini turut merangkumi kerja-kerja pemasangan paip pelepasan air mentah berdiameter 1,200 milimeter (mm) dari empangan dan paip pengeluaran air terawat berdiameter 900mm untuk sambungan ke saluran bekalan air terawat sedia ada. la juga melibatkan semua kerja berkaitan sivil, struktur, mekanikal dan elektrikal,” katanya.
Pathmanathan memaklumkan ketika ini sebahagian besar bekalan air terawat di SPT disalurkan dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU), namun kebergantungan itu dijangka berkurang apabila LRA Taman Mengkuang mula beroperasi.
Beliau berkata LRA baharu bukan sahaja akan memperkukuh bekalan air di SPT, malah memberikan manfaat tidak langsung kepada pengguna di SPU dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Menurutnya LRA Taman Mengkuang merupakan projek ketiga di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dan terdapat lima lagi projek di bawah pelan itu perlu disiapkan sebelum 2030.
-- BERNAMA