POLITIK

KEPIMPINAN BAHARU PKR CERMINAN ASPIRASI AKAR UMBI, BUKAN NEPOTISME - PENGANALISIS

24/05/2025 02:29 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan Yasmin Ahmad Zukiman

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Keputusan pemilihan pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu bukan sekadar mencerminkan kematangan para perwakilan dalam memilih gabungan tokoh berpengalaman dan pemimpin muda, malah turut membuktikan aspirasi akar umbi yang mahukan kesinambungan serta pembaharuan.

Walaupun barisan kepimpinan baharu ini tidak terlepas daripada pelbagai persepsi, penganalisis politik berpandangan bahawa kemenangan mutlak yang diraih kesemua pemimpin itu, terutamanya yang mencuri tumpuan ialah Nurul Izzah Anwar, mencerminkan manifestasi mandat penuh daripada ahli akar umbi dan bukan hasil amalan nepotisme serta berpuak.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata secara keseluruhannya keputusan itu turut menjadi isyarat jelas bahawa ahli akar umbi menaruh keyakinan penuh terhadap kewibawaan dan kemampuan kepimpinan baharu untuk membawa parti ke hadapan.

“Keputusan itu memperlihatkan keseimbangan dalam kalangan pemenang, khususnya antara dua blok yang dilihat wujud semasa pemilihan, iaitu kumpulan yang dikaitkan dengan (Menteri Ekonomi) Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

“Ini kerana kedua-dua pihak turut mencatatkan kemenangan. Individu yang rapat dengan Rafizi turut menang, termasuk dua Naib Presiden. Perwakilan tidak melihat kepada blok semata-mata, sebaliknya menilai calon berdasarkan kesesuaian serta sumbangan mereka. Ini menunjukkan ahli PKR menekankan soal perpaduan,” katanya kepada Bernama.

Mazlan, yang menegaskan bahawa kemenangan Nurul Izzah bukan berpaksikan nepotisme, sebaliknya berkata perwakilan melihat 'Puteri Reformasi' itu sebagai figura terbaik untuk memimpin dan membantu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.

“Kekalahan Rafizi adalah keputusan jelas ahli untuk melakukan perubahan kepimpinan. Mungkin pendekatan kempen Rafizi yang banyak mendedahkan isu dalaman parti menjadi antara faktor penolakan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kredibiliti dan konsistensi perjuangan Nurul Izzah menjadi faktor utama sokongan perwakilan terhadap beliau.

“Beliau dikenali sejak sekian lama dan perjuangannya sentiasa konsisten. Nurul Izzah memang layak untuk memegang jawatan Timbalan Presiden, namun ada tanggungjawab besar menanti beliau, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Beliau perlu membawa gagasan dan idea lebih besar dan segar untuk menarik sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi muda walaupun asas sokongan dalam kumpulan itu sudah wujud,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata idealisme dan perjuangan politik Nurul Izzah selari dengan keperluan dalam konteks perubahan masa kini serta mampu merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu dalam kepimpinan parti.

“Pencapaian beliau sebelum ini juga amat meyakinkan apabila pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan memegang jawatan penting dalam parti dan berdasarkan nilai itu, Nurul Izzah dilihat memenuhi ciri-ciri untuk mengambil peranan lebih besar,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata kemenangan pemimpin muda, termasuk Nurul Izzah ialah satu langkah penting untuk meremajakan parti selain memberikan peluang kepada lebih ramai wanita dan golongan muda untuk mengisi jawatan tertinggi dalam parti.

“Bagi saya kemenangan pemimpin muda dan Nurul Izzah adalah lembaran baharu politik segar yang dibawa oleh PKR dan langkah tepat untuk melahirkan pemimpin pelapis negara,” katanya.

Pada keputusan rasmi pemilihan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan menang tanpa bertanding jawatan Presiden manakala tiga penyandang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, masing-masing berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan menjadi muka baharu yang berjaya mendapat mandat daripada perwakilan untuk menggalas tanggungjawab Naib Presiden. 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Cabang Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet, juga antara muka baharu yang berjaya menempatkan diri dalam MPP pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan kali ini menewaskan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, manakala bekas Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan