AM

PROMOSI ASEAN SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN TUNGGAL LONJAK PERJALANAN SERANTAU - MATTA

24/05/2025 10:18 AM

Oleh R.Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- ASEAN perlu merealisasikan usaha yang lebih bersepadu dan agresif untuk mempromosikan rantau ini sebagai destinasi pelancongan tunggal dan kohesif, menurut Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA).

MATTA menjelaskan destinasi pelancongan tunggal dan kohesif merupakan konsep untuk mengetengahkan rantau ini sebagai satu pengalaman perjalanan menyeluruh berbanding pemasaran secara berasingan yang dibuat setiap negara.

Presiden MATTA Nigel Wong Chun Teim berkata blok serantau 10 negara ini sewajarnya memanfaatkan pendekatan itu untuk merancakkan lagi perjalanan intra-ASEAN dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Asia Tenggara.

“Di sesetengah lokasi seperti Eropah, kita membantu mempromosikan ASEAN sebagai destinasi tunggal dan pada masa sama masih menonjolkan tarikan unik setiap negara.

“Pelancong mungkin memasuki (rantau ini) melalui Malaysia atau negara ASEAN lain, namun Malaysia kekal sebagai hentian utama dalam jadual perjalanan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata usaha terselaras oleh negara anggota ASEAN untuk memperlihatkan rantau ini sebagai zon pelancongan yang saling terhubung bukan sahaja meningkatkan kebolehlihatan dalam peta pelancongan dunia malah juga melonjakkan ketibaan pelancong, khususnya ke Malaysia.

“Antara pasaran pertumbuhan utama adalah perjalanan intra-ASEAN. ASEAN perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menggalakkan warganya sendiri meneroka rantau ini.

“Promosi secara agresif bagi hal ini akan memberi manfaat kepada setiap negara anggota dan meningkatkan pelancongan dalam ASEAN keseluruhannya,” katanya.

Wong berkata ASEAN terus kelihatan menarik bagi pelancong dunia, didorong oleh iklimnya yang baik, kepelbagaian dan kekayaan budaya, layanan mesra hospitaliti serta kos yang berpatutan.

Beliau berkata bagaimanapun, kesalinghubungan serantau dan antarabangsa yang lemah masih menjadi antara halangan utama kepada pertumbuhan pelancongan.

“Contohnya Kuching. Kedudukan geografinya berhampiran dengan beberapa destinasi ASEAN namun, pilihan penerbangan pula masih terhad. Sesuatu yang menggalakkan sekiranya dapat melihat kerajaan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk memperluas kesalinghubungan rantau ini,” katanya.

Mengenai kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, Wong berkata peranan secara giliran itu menawarkan peluang strategik untuk meletakkan negara ini sebagai hab perjalanan utama di Asia Tenggara.

Ratusan mesyuarat peringkat tinggi dan acara rasmi yang dirancang sepanjang tahun boleh secara langsung atau tidak langsung meningkatkan ketibaan pelancong dan mengukuhkan profil pelancongan antarabangsa Malaysia, katanya.

Beliau berkata inisiatif ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ oleh Thailand, yang diperkenalkan tahun lepas bagi menjadikan ASEAN lebih mudah diakses apabila perjalanan merentas enam negara yang mengambil bahagian -- Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Vietnam dan Thailand -- dipermudah, manakala Singapura dijangka menyertainya.

Inisiatif itu bertujuan menggalakkan pelancong antarabangsa berkunjung ke beberapa negara ASEAN dalam satu perjalanan, mengukuhkan kedudukan blok ini sebagai hab pelancongan berpadu.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaporkan Malaysia mencatatkan ketibaan pelancong berjumlah 13.4 juta bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, menandakan peningkatan 21 peratus daripada angka pada tempoh sama tahun lepas.

MOTAC menyasarkan 45 juta pelancong antarabangsa tahun ini, dengan terimaan pelancongan diunjurkan berjumlah RM270 bilion.

Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 26 Mei.

Sempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadual berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang julung kali akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Sebelum ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan