GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menanggung kos Projek Kereta Kabel Bukit Bendera di sini, kerana syarikat konsesi bertanggungjawab sepenuhnya untuk membiayai keseluruhan projek dan mengendalikan perkhidmatan kereta kabel.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan pelaksanaan projek kereta kabel melalui model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) bertujuan meminimumkan beban kewangan kerajaan, dengan operasi kereta kabel akan dipindahkan kepada kerajaan negeri pada akhir tempoh konsesi.
"Projek itu dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd, perintis tempatan dalam industri rel dan syarikat ini diberikan konsesi selama 30 tahun melalui PPP atas asas reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pemindahan (DFBOT) melalui Permohonan Cadangan (RFP) seperti diumumkan 14 Dis 2022.
"Doppelmayr Seilbahnen GmbH, peneraju pasaran global dalam bidang ropeway yang berpangkalan di Austria dilantik untuk membekalkan sistem kereta kabel dan melalui PPP ini kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menanggung kos projek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan sebuah parti politik meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai peningkatan kos pembinaan projek sedangkan kemajuan kerja baru mencapai tujuh peratus dan sama ada kerajaan negeri perlu menanggungnya.
PBBPP menjelaskan pelaburan RM245 juta yang dicadangkan syarikat konsesi berdasarkan anggaran kos projek yang dibuat pada masa RFP dimulakan pada 2021.
Meskipun kos keseluruhan meningkat, PBBPP memaklumkan Hartasuma tetap komited untuk melaksanakan mengikut pencapaian sasaran projek, melibatkan pembinaan sistem kereta kabel 'Garden Station' yang terletak berhampiran Taman Botani Pulau Pinang.
Projek itu juga akan menyaksikan 'Turn Station' untuk jajaran kabel, 'Hill Station' di atas Bukit Bendera dan tempat letak kereta bertingkat dengan plaza komersial serta kawasan parkir bas.
Kereta Kabel Bukit Bendera ialah projek ikonik strategik di Pulau Pinang yang bertujuan mengimbangi trafik pelancong, terutamanya semasa musim puncak di Bukit Bendera dan mengurangkan isu trafik yang berlarutan berhampiran Taman Botani Pulau Pinang.
-- BERNAMA