JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Proses pengundian bagi pemilihan kepimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sesi 2025-2028 berjalan lancar dan terkawal setakat ini, kata Ketua Penerangan parti itu Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata setakat ini tiada masalah dihadapi melibatkan kedua-dua kaedah pengundian iaitu secara fizikal dan dalam talian serta pemantauan dilakukan secara berterusan.
"Setakat ini saya tidak dengar atau mendapat apa-apa laporan mengatakan ada masalah Internet di mana-mana lokasi.
"Laporan terkini (jumlah perwakilan telah mengundi) belum dapat, tetapi berdasarkan pantauan daripada Kongres Wanita dan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), saya nampak ramai yang hadir (mengundi) dan ini petanda yang positif untuk parti," katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau proses pemilihan merangkumi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat yang bermula 8 pagi tadi dan akan berakhir 5 petang ini di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.
Proses pemilihan membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian termasuk pengundi fizikal di Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
Diminta mengulas mengenai keputusan pemilihan, beliau berkata keputusan tidak rasmi dijangka dimaklumkan terlebih dahulu kepada calon kira-kira 9 malam ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata keputusan rasmi akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kira-kira 2.30 petang esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
-- BERNAMA