KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak perlu mempertimbangkan kelonggaran kepada pelajar dewasa untuk melanjutkan pelajaran secara separuh masa di bawah inisiatif pendidikan tinggi percuma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin berkata ia bagi membolehkan anak kelahiran Sarawak yang berstatus 'K' mempunyai peluang menikmati tawaran itu ketika masih bekerja.
"Sebagai seorang bekas pendidik yang masih mempunyai jiwa pendidik yang tidak pernah padam, saya amat menghargai inisiatif ini.
“Ini bukan sahaja akan memanfaatkan individu, tetapi juga akan meningkatkan mutu tenaga kerja Sarawak untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi di Malaysia dan rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Rolland turut mencadangkan program atau kursus jangka pendek dalam bidang seperti pengekodan (coding) menerusi institusi yang diiktiraf atau secara dalam talian bagi meningkatkan kemahiran serta memberi nilai tambah kepada pekerja di Sarawak.
Pada Ahad lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menawarkan pendidikan tinggi sepenuh masa secara percuma kepada rakyat Sarawak, termasuk mereka yang sudah bekerja tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran sebelum ini.
-- BERNAMA