SEREMBAN, 20 Mei (Bernama) -- Ibarat bulan jatuh ke riba, seorang pesara kerajaan tidak menyangka bergelar jutawan segera apabila memenangi wang tunai berjumlah RM1 juta menerusi program Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP).
Azizah Kamarudin, 65, menjadi individu ke-111 dari Negeri Sembilan menerima ganjaran utama tersebut berkata dia mula membeli SSP dengan harga RM10 pada 1990, dan konsisten menabung sehingga kini demi masa depan keluarga.
Pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu berkata dia dimaklumkan mengenai kemenangan tersebut oleh pihak BSN pada 5 Mei melalui panggilan telefon, sebelum membuat pengesahan di BSN di Senawang.
“Sebelum saya dihubungi oleh pegawai BSN, saya ada melihat keputusan pemenang melalui media sosial di Facebook BSN.
“Ketika itu, saya hanya melihat nama sahaja, saya fikir mungkin ada orang yang nama sama kerana saya tidak yakin boleh menang walaupun dalam hati tetap berharap agar sayalah pemilik nama itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menerima replika cek hadiah tersebut di rumahnya di Seremban Jaya, disampaikan Ketua Pengurusan Deposit BSN Negeri Sembilan Mohd Ruzaini Mohd Sani dan Timbalan Presiden Perhubungan Awam dan Komuniksi BSN Christina Geeta Thomas.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dia akan menggunakan duit tersebut untuk mengerjakan umrah bersama suaminya Baharuddin Md Yusof, 67, pada Ramadan tahun hadapan dan selebihnya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
Azizah berkata kemenangan itu adalah berita gembira ke dua diterimanya pada tahun ini, iaitu tawaran menunaikan haji bersama anak-anaknya namun menangguhkan hasrat itu kerana pernah mengerjakan ibadah itu pada tahun 2018.
“Alhamdulillah, syukur kepada tuhan yang memberikan semua rezeki. Pada tahun ini saya, suami dan semua anak saya menerima panggilan untuk menunaikan haji bersama-sama, memang tidak sangka.
“Saya dan suami sudah mengerjakan haji pada tahun 2018, jadi pada kali ini kami mengambil keputusan untuk menangguhkan dulu, bagi laluan kepada anak-anak, jadi kami boleh jaga cucu,” katanya.
Azizah berkata simpanan BSN SSP ini, pilihan tepat untuk simpanan jangka masa panjang kerana selain menabung peserta juga mempunyai peluang untuk memenangi hadiah yang sangat lumayan.
-- BERNAMA