AM

PERAJURIT MUDA SIRI 202/2024 KUMPULAN PERTAMA TERIMA PELARASAN GAJI BAHARU SSPA - PTD

18/05/2025 05:51 PM

PORT DICKSON, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 1,319 perajurit muda yang menamatkan latihan asas Tentera Darat siri 202/2024 hari ini merupakan kumpulan pertama yang akan menikmati kenaikan skim gaji baharu menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) secara penuh.

Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata mereka akan menerima gaji permulaan sebanyak RM1,710 hingga RM1,930 selepas ini mengikut kelayakan akademik masing-masing berbanding RM1,610 ketika dalam latihan bermula pada 1 Dis tahun lepas.

“Sebelum ini, gaji mereka RM1,459 (ketika Skim Saraan Malaysia) dan siri kali ini merupakan kumpulan pertama yang menerima skim pelarasan gaji baharu, maknanya mereka yang ada kelayakan diploma akan mendapat gaji lebih berbanding lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, ia mengikut kelayakan masing-masing.

"Perkara ini benda baharu, saya berharap cara ini akan menarik lebih ramai penyertaan masyarakat atau bakal perajurit muda yang berkelulusan diploma pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 202/2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata bagi sesi kali ini, Sarawak mencatatkan pelatih paling ramai, iaitu 243 individu manakala kaum Melayu mempunyai majoriti dengan 1,007 individu, peribumi Sabah dan Sarawak (364), Cina (lima), India (18) dan Orang Asli (empat).

Beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan pelbagai usaha untuk menarik minat kaum lain menyertai Tentera Darat (TDM) termasuk pameran dan ceramah kerjaya di sekolah bukan aliran Melayu selain meminta Ahli Jawatankuasa Askar Wataniah yang dilantik setiap negeri membantu menarik minat golongan bukan Melayu.

Katanya, ekonomi mungkin menjadi faktor utama kebanyakan generasi muda tidak berminat menyertai perkhidmatan itu dan berharap pelaksanaan SSPA akan menarik lebih ramai belia terutama bukan Melayu.

"Kita tidak ada banyak isu di Sabah, cuma kita nak lebih ramai dari Semenanjung menyertai ATM, saya berharap dengan adanya PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) nanti dapat menarik lebih ramai remaja menyertai perkhidmatan," katanya dan berharap mereka memilih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai kerjaya utama mereka.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota tentera yang mencemarkan nama baik perkhidmatan, termasuk kes membabitkan seorang anggota tentera yang disyaki mencabul seorang pelajar di Melaka, baru-baru ini.

"Anggota tentera itu masih dalam tahanan reman polis, kita akan lihat tindakan polis dan TDM akan mengambil tindakan lanjut atas kesalahan salah laku sekiranya individu iu terbukti bersalah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan