AM

MALAYSIA IKTIRAF KEPENTINGAN KERJASAMA MULTILATERAL DALAM TANGANI CABARAN BELIA

16/05/2025 05:30 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN (TATARSTAN), 16 Mei (Bernama) -- Malaysia menegaskan kepentingan serta peranan penting kerjasama multilateral dalam menangani cabaran dihadapi belia yang semakin berkembang, terutamanya dalam kalangan dunia Islam.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar semua sektor masyarakat melibatkan diri secara inklusif dalam menyokong pembangunan belia, sebagai asas kepada pembinaan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Anwar menyatakan perkara itu dalam ucaptama beliau pada Strategic Vision Group Meeting: Russia-Islamic World (KazanForum 2025), bertemakan Experience of Russia and the Islamic World in Youth Policy:  Common Challenges and Joint Actions.

Perdana Menteri berkata generasi muda juga tidak seharusnya terdedah kepada perbezaan pendapat yang besar dalam kalangan para sarjana dan ulama Islam.

“Anak muda kita tidak boleh secara berterusan menyaksikan pemimpin dan ulama bertelagah secara berpanjangan mengenai perbezaan pandangan mereka. Mereka juga tidak boleh terus dibiarkan berputus asa melihat krisis seperti yang berlaku di Gaza.

“Belia kita perlu diberikan harapan dan peluang…kita perlu sediakan mereka dengan visi berteraskan perpaduan, nilai-nilai murni dan integriti,” kata beliau.

Anwar turut menyatakan keperluan untuk para pemimpin dan ulama mengetepikan sebarang perbezaan dan membina kepercayaan, perwatakan dan nilai yang betul dalam kalangan belia dan berkata bahawa terdapat defisit dalam kualiti itu dalam wacana politik dan geopolitik masa kini.

Beliau berkata Malaysia menangani isu tersebut menerusi kerangka MADANI, yang mengimbangi kemajuan ekonomi, termasuk dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, dengan tadbir urus berasaskan nilai.

“Kami katakan kepada belia kita: kami menaruh harapan yang tinggi kepada anda. Anda mesti diberi kuasa dan ruang untuk menyumbang secara berkesan dalam membentuk masa depan kita,” kata Anwar.

Anwar berkata beliau telah mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil bersama Presiden Vladimir Putin di Moscow dan Putin memberikan mesej yang jelas dan menggalakan negara-negara, khususnya Malaysia, untuk menyokong KazanForum bagi memastikan Persekutuan Rusia dan Tatarstan terus terlibat secara produktif demi pembangunan, keamanan, kemampanan ekonomi serta keterangkuman.

“Saya memuji semua usaha ini. Sudah tiba masanya para sarjana dan pemimpin kita melihat perkara ini secara proaktif dan positif. Telah cukup keputusasaan dalam kalangan belia kita,” kata beliau.

KazanForum2025 menjadi kemuncak kepada lawatan rasmi Anwar ke Persekutuan Rusia yang berakhir hari ini. Forum itu berfungsi sebagai platform utama untuk memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan