PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen kini di fasa akhir persiapan aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata sebanyak 7,227 pegawai dan anggota polis akan bertugas untuk memastikan aspek keselamatan delegasi manakala lebih 2,000 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen dalam keadaan siap siaga supaya urusan di pintu masuk negara berjalan lancar dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Kami ingin kelancaran sepenuhnya bila delegasi masuk bukan sahaja (dari segi) pemeriksaan dokumen, pasport dan dokumen perjalanan tetapi juga soal bagasi. Itu semua adalah kayu ukur kita.
“Jangan ada gangguan sama sekali. Mestilah lancar dari segi pergerakan manusia dan barangan iaitu di peringkat pegawai, pegawai kanan, menteri ataupun ketua-ketua negara,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei ini diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), turut diadakan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya mengenal pasti pintu masuk ketibaan tetamu negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Bunga Raya serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang akan menerima ketibaan beberapa pesawat khas.
Beliau berkata kawalan trafik akan dilaksanakan PDRM bagi memastikan pergerakan kenderaan rasmi dan delegasi asing terutama dengan kehadiran pemimpin ASEAN, wakil GCC serta jangkaan kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang.
“Kita akan buat percubaan bermula 20 Mei, PDRM akan ambil kedudukan lebih awal,” katanya menambah makluman mengenai penutupan jalan sempena sidang kemuncak itu akan diumumkan kelak.
Saifuddin Nasution turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi utama sidang kemuncak itu minggu lepas.
“Beliau telah menerima taklimat lengkap berhubung persiapan termasuk aspek keselamatan,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA