JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM DAKWA RAMASAMY ESOK ATAS 17 PERTUDUHAN SALAH GUNA KUASA

13/05/2025 08:41 PM

GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P. Ramasamy akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok atas 17 pertuduhan berkaitan kesalahan menyalahgunakan kedudukan ketika menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP).

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 13 pertuduhan membabitkan pembelian pedati emas manakala empat lagi melibatkan kelulusan bantuan pendidikan dan bantuan perubatan di bawah LWHPP.

Bagi pertuduhan pembelian pedati emas, sumber itu memaklumkan Ramasamy didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh wang kira-kira RM300,000 daripada Akaun Peruntukan Khas LWHNPP pada 2019.

“Empat pertuduhan lain membabitkan kelulusan dua Bantuan Pendidikan dan dua Bantuan Perubatan yang didakwa diluluskan sekitar 2020 hingga 2022 tanpa melalui mesyuarat jawatankuasa LWHPP,” katanya.

Siasatan terhadap Ramasamy dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pada Ogos lepas, Pengerusi LWHPP ketika ini, RSN Rayer menyerahkan penemuan audit forensik dalaman kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk penemuan berkenaan yang didakwa mengandungi beberapa petunjuk penting.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan