JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RAMPAS MINUMAN KERAS BERNILAI RM316,595

13/05/2025 04:44 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pengedaran arak menerusi rampasan pelbagai jenama minuman keras bernilai RM316,595 dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Mount Austin, di sini pada minggu lepas.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata serbuan 10.30 pagi, 7 Mei dengan kerjasama Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman itu juga, menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

“Operasi susulan maklumat awam itu menemukan kira-kira 27 jenama minuman keras dalam rumah sewa yang dijadikan sebagai stor penyimpanan, selain turut ditemukan dalam Toyota Estima dan Toyota Vellfire.

“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Raub berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu bersendirian sejak enam bulan lepas, dengan membeli minuman keras di kawasan bebas cukai di Forest City, Iskandar Puteri sebelum menjualnya mengikut harga pasaran kepada kedai runcit dan kenalan termasuk warga asing.

Beliau berkata sampel minuman tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk analisis kandungan.

Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama 14 hari bermula 8 Mei, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan