DUNIA

MAHAR SUARAKAN KEPRIHATINAN MENDALAM, KECAM KRISIS KEMANUSIAAN SEMAKIN PARAH DI GAZA

13/05/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyuarakan keprihatinan mendalam dan mengecam krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, apabila kebuluran didakwa digunakan secara sistematik sebagai senjata perang.

MAHAR dalam satu kenyataan pada Selasa berkata taktik kejam dan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, malah telah menjerumuskan jutaan penduduk, khususnya kanak-kanak, ke tahap paling kritikal untuk terus hidup."

“Laporan menggerunkan dari Gaza mendedahkan bahawa kanak-kanak kini mengalami kehilangan penglihatan akibat kekurangan zat berpanjangan. Penafian akses secara sengaja terhadap makanan, air bersih dan bantuan perubatan telah membawa kesan buruk dan trauma berpanjangan kepada generasi yang sudah sedia terkesan oleh konflik,” menurut kenyataan itu.

Presiden MAHAR Jismi Johari dalam ucapannya pada Majlis Jaringan Kemanusiaan Sheikhul Islam (CHNS) di Bangkok baru-baru ini berkata: “Kita tidak boleh berdiam diri sementara kanak-kanak menjadi buta akibat kelaparan dan orang awam tidak berdosa dihukum melalui penindasan kolektif.”

“Ini bukan masa untuk berdiam diri atas nama diplomasi. Ini adalah masa untuk bertindak, menunjukkan belas ihsan, dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin.”

Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar, turut menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera.

“Penderitaan di Gaza menuntut lebih daripada sekadar simpati - ia memerlukan keberanian moral. Setiap usaha, walau sekecil mana, menjadi tali hayat buat seorang anak, seorang ibu, dan sebuah keluarga yang masih bertahan dengan harapan. Kita semua harus memainkan peranan dalam mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesucian nyawa,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa melalui sumbangan dan penyebaran kesedaran, “kita semua mampu membawa perubahan”.

MAHAR menggesa orang ramai menyokong Gaza dengan menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan serta berkongsi maklumat berkenaan situasi sebenar di Gaza.

“Adalah penting untuk kita bersuara dan memastikan dunia tahu hakikat sebenar tentang keadaan yang amat genting di Gaza,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan kepada MAHAR boleh disalurkan melalui akaun CIMB Bank atas nama Malaysian Humanitarian Aid & Relief - 8605980459 (Rujukan: Gaza).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan