DUNIA

CHINA, AS SETUJU TURUNKAN KADAR TARIF, TUBUH MEKANISME RUNDINGAN

13/05/2025 04:35 PM

BEIJING, 13 Mei (Bernama-CMG) -- Rundingan peringkat tinggi mengenai ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung di Geneva dari 10 hingga 11 Mei mencapai kemajuan yang substantif dengan persetujuan tercapai bagi menurunkan kadar tarif antara kedua-dua negara.

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) dalam sidang taklimat di sini pada Isnin, ketika memberikan huraian mengenai Kenyataan Bersama Rundingan Ekonomi dan Perdagangan China-AS.

Menurut MOFCOM, AS memutuskan untuk membatalkan tarif tambahan sebanyak 91 peratus, manakala China juga menarik balik 91 peratus tarif balasannya.

Sementara, AS memutuskan untuk menggantung pelaksanaan "tarif timbal balik" sebanyak 24 peratus, dan China juga mengambil langkah yang sama.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak menyedari betapa pentingnya hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala bagi ekonomi kedua-dua negara ini dan dunia, sementara memahami keutamaan  hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang mampan dan saling memanfaatkan untuk jangka masa panjang.

Selepas mengambil langkah berkenaan, kedua-dua pihak akan menubuhkan mekanisme perundingan mengenai hal-ehwal ekonomi dan perdagangan.

Rundingan berkenaan boleh diadakan di China, AS, atau di negara ketiga yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan