TANAH MERAH, 13 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan komited untuk memastikan hak pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh setiap individu terutamanya generasi muda yang berpotensi.
Rektornya Prof Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata selain membimbing pelajar mencapai cita-cita dalam bidang akademik yang diceburui, pendidikan juga sebenarnya dapat mengukuh mobiliti sosial melalui peluang pembelajaran yang inklusif serta wahana transformasi diri dan komuniti.
"Ada pelbagai sebab kenapa para pelajar perlu memilih UiTM. Pertama, UiTM menawarkan keunggulan akademik yang diiktiraf global kerana kedudukan dalam QS World University Rankings 587 teratas dan 21 subjek pengajian tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject.
"Prestasi ini bukan sahaja membuktikan kualiti kurikulum yang setanding institusi ternama antarabangsa, malah menjadikan graduan UiTM antara yang paling dicari oleh majikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 'Jom Masuk U' dan Majlis Sumbangan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Peringkat Parlimen Tanah Merah, di sini hari ini, yang dirasmikan Penaung Persatuan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.
Mengulas lanjut, Mohd Afandi berkata menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lepas, sebanyak 92.1 peratus graduan UiTM berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, mencerminkan relevansi ilmu dan kemahiran yang dimiliki dengan keperluan industri.
-- BERNAMA