PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Trend penagihan dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara merekodkan penurunan ketara pada suku pertama tahun ini, selepas berlaku peningkatan tiga tahun berturut-turut.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata trend itu, menyaksikan penurunan 10.5 peratus kepada 108,409 penagih dan mereka yang menyalahgunakan dadah atau bahan sehingga Mac lepas, berbanding 121,170 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata daripada sejumlah 108,409 individu, sebanyak 40 peratus merupakan kes berulang, manakala 60 peratus kes baharu.
Saifuddin Nasution berkata daripada jumlah itu, Terengganu mencatatkan rekod tertinggi bagi kadar penagih dan mereka yang menyalahgunakan dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu 663 orang diikuti Perlis dengan 609 orang dan Kelantan 597 orang.
“Yang menyumbang kepada penurunan suku pertama itu ialah kejayaan kita menutup pangkalan haram dan laluan tikus di Kelantan, yang merupakan penyumbang utama kepada kemasukan bekalan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Selain kawalan sempadan, Saifuddin Nasution berkata penurunan itu turut disebabkan pelaksanaan operasi penguatkuasaan berterusan, serta program kesedaran awam yang diperhebat sejak awal tahun ini.
Beliau berkata senario penagihan dadah menyaksikan peningkatan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut dengan 137,176 individu pada 2022 dan meningkat kepada 145,526 individu pada 2023.
“Pada 2024 pula, statistik menyaksikan kes penyalahgunaan dan penagih dadah serta bahan meningkat sebanyak 32.5 peratus, menjadikan angka sebanyak 192,857 orang.
“Daripada jumlah itu, individu yang paling ramai terlibat ialah dalam lingkungan usia 15 hingga 39 tahun iaitu seramai 117,478 atau 60.9 peratus,” katanya.
Mengikut jenis dadah pula, Saifuddin Nasution berkata dadah stimulan jenis amfetamin (ATS) terdiri daripada Methamphetamine (Syabu), ecstacy dan amphetamine, menjadi pilihan dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 139,909 kes berbanding 2023.
Bagaimanapun beliau berkata dadah jenis ganja turut mengalami peningkatan ketara dengan 7,121 kes atau peningkatan 63.4 peratus berbanding 4,358 kes pada 2023.
Saifuddin Nasution berkata trend penurunan itu merupakan bukti awal keberkesanan pendekatan menyeluruh yang digerakkan kerajaan dalam usaha membanteras gejala penagihan dadah yang telah lama menjadi cabaran.
Beliau berkata maklumat yang kita analisis memberikan lima daerah yang paling tinggi kes penyalahgunaan dadah iaitu Pendang, Kuala Krai, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Bachok.
Saifuddin Nasution berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kolaborasi bersama Pusat Geospatial Negara, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang dilaksanakan, dengan membangunkan aplikasi pelaporan dan analisis perkhidmatan AADK secara bersepadu, berasaskan spatial untuk Sistem Pemprofilan Dadah Malaysia.
Beliau berkata melalui aplikasi itu, analisis data dapat dilaksanakan bagi pengenalpastian, penjangkaan dan peramalan trend penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan berdasarkan demografi dan sosio-ekonomi.
“Selain itu, AADK juga boleh mengenal pasti dan menangani isu serta cabaran, memperkasakan proses perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya.
-- BERNAMA