GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Dana Pembangunan Belia sebanyak RM77,300 kepada 41 pertubuhan belia di seluruh negeri itu tahun ini sebagai usaha memperkasakan pembangunan golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata melalui dana itu, pertubuhan belia diharap dapat melaksanakan program yang bersifat inklusif, progresif dan memberi impak positif kepada komuniti terutamanya golongan belia.
"Belia bukan sekadar kumpulan sasaran tetapi rakan strategik dalam menjayakan aspirasi negeri. Justeru, melalui inisiatif Dana Pembangunan Belia yang diperkenalkan pada 2024, kita kekal mendukung agenda pembangunan dan menyediakan sokongan kewangan kepada pertubuhan belia.
"Dana ini untuk pelaksanaan program yang merangkumi pelbagai aspek seperti kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawanan, kepimpinan, pengiktirafan serta aktiviti berpersatuan yang mampu membawa impak langsung kepada komuniti belia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Pembangunan Belia Tahun 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Gooi berkata memandangkan pembangunan belia adalah pelaburan jangka panjang bagi pembangunan modal insan, beliau menyeru setiap pertubuhan yang menerima dana itu memanfaatkannya secara strategik, telus dan berimpak bagi menjayakan agenda pembangunan belia yang lestari.
Beliau berkata dengan kerjasama dan kesungguhan sedia ada dapat membentuk ekosistem belia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuhkan hala tuju menuju Pulau Pinang yang lebih sejahtera dan mampan.
"Berdasarkan statistik daripada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), sebanyak 3,083 pemegang jawatan dalam pertubuhan belia di Pulau Pinang adalah berumur bawah 30 tahun berbanding 2,846 orang yang berumur lebih 30 tahun.
"Ini bermakna 52 peratus daripada pemegang jawatan adalah benar-benar dalam kalangan belia, seperti yang ditakrifkan. Angka itu bukan sahaja menunjukkan pematuhan terhadap syarat penubuhan pertubuhan belia malah membuktikan ia sememangnya digerakkan dan diterajui oleh golongan muda yang aktif dan progresif,” katanya.
-- BERNAMA