IPOH, 1 Mei (Bernama) - - Polis hari ini memberkas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang pembantu kedai di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang, Taiping dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata suspek ditahan di kawasan Aulong, Taiping pada kira-kira 11 pagi bersama sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, 19.
“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan melalui orang awam yang menjumpai mangsa tertiarap dan berlumuran darah pada 2.55 petang.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping telah digerakkan dan berjaya memberkas suspek dalam masa kurang daripada 24 jam,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Mohamad Nasir berkata siasatan awal mendapati pembunuhan itu bermotifkan cemburu dan suspek yang berusia 40 tahun mempunyai empat rekod jenayah.
Beliau berkata hasil saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
"Suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Taiping untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA