AM

SABAH PERBAHARU ENAKMEN MAHKAMAH ANAK NEGERI SUPAYA KEKAL RELEVAN - HAJIJI

01/05/2025 03:52 PM

TAMBUNAN, 1 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 akan diperbaharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri bagi memastikan institusi berkenaan kekal berkesan dan relevan.

Beliau berkata draf enakmen baharu telah disediakan oleh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

“Draf ini memerlukan ulasan daripada Jabatan Peguam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN),” katanya ketika beruacap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaamatan Sabah 2025 dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian bagi memperkukuh keterjaminan makanan di Sabah.

Beliau berkata SSL Sabah ketika ini hanya 22.8 peratus dan negeri masih bergantung kepada makanan yang diimport.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lepas, dan kini giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.

“Inisiatif ini akan membantu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Mengenai sambutan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini yang bertemakan  “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan”, Hajiji berkata ia membawa mesej penting mengenai keterangkuman sambil menegaskan bahawa pesta ini bukan milik satu masyarakat, tetapi merupakan sambutan bersama merangkumi semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Pesta Kaamatan bukan sekadar Pesta Menuai. Ia telah menjadi simbol perpaduan rakyat, menyediakan ruang untuk kita saling memahami dan menghormati sambil meraikan kepelbagaian budaya yang dimiliki,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan