SHANGHAI, 1 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menegaskan bahawa Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 bagi tempoh 2026 hingga 2030 perlu digariskan secara saintifik, selaras dengan perubahan situasi semasa dan keutamaan strategi negara.
Perkara itu ditekankan Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, ketika berucap pada simposium mengenai pembangunan ekonomi dan masyarakat untuk tempoh berkenaan yang diadakan di sini pada Rabu.
Beliau berkata perancangan berkenaan perlu memfokuskan kepada mencapai modenisasi pada asasnya, dengan berpandukan visi pembangunan negara yang kuat serta merealisasikan kebangkitan bangsa.
Di samping itu, matlamat dan misi dalam pelbagai aspek FYP ke-15 perlu dikaji dengan teliti agar ia menepati ciri-ciri saintifik, tepat dan boleh dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang.
Xi turut menegaskan keperluan mengekalkan tahap keterbukaan yang tinggi, mendorong pembangunan berkualiti serta menyepadukan agenda pembangunan dengan keselamatan negara.
Beliau juga menuntut supaya pembangunan kuasa produktif berkualiti baharu dijadikan strategi yang lebih diutamakan, di samping mendorong pembinaan sistem perindustrian moden serta menyempurnakan sistem inovasi di peringkat negara.
-- BERNAMA-CMG